am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas kejadian menyayat hati menimpa Zara Qairina, pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di Papar, Sabah tular dan mendapat perhatian umum, seorang Ahli Parlimen membangkitkan di Dewan Rakyat satu lagi insiden kematian membabitkan pelajar di sekolah.
Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mendakwa insiden kematian pelajar tingkatan empat, Muhammad Zulfan Iqbal Zaiful akibat lemas ketika aktiviti pemulihan selepas latihan bola sepak di sebuah sekolah sukan, tidak begitu diberi perhatian.
Beliau mendakwa selepas lapan bulan kejadian itu berlaku, masih belum ada sebarang perkembangan terkini berkaitan kes termasuk yang dimaklumkan kepada pihak keluarga.
“Saya bawa perkara ini ke dewan yang mulia ini bagi pihak rakyat marhaen yang memohon supaya pihak berkuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan (KPM), memberi perhatian kepada kes ini.
“Sayu saya mendengar rintihan ibu bapa arwah. Mereka menyatakan terdapat terlalu banyak persoalan di sebalik kejadian itu. Sebagai contoh, pelaksanaan aktiviti ‘recovery’ selepas latihan di dalam kolam terjun sedalam lima meter menjadi tanda tanya. Apakah ini SOP (prosedur operasi standard) kementerian?
“Lebih menyedihkan, kedua ibu bapa menyatakan tidak ada pemimpin kanan KPM hadir untuk menziarahi dan memberi penjelasan kepada keluarga. Mereka cuma ingin mendapat pembelaan terhadap apa yang berlaku kepada arwah Zulfan,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Radzi yang juga bekas Menteri Pendidikan mengesyorkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan kepimpinan kanan KPM turun bertemu kedua ibu bapa arwah Zulfan.
“Jangan kerana isu ini tidak viral, maka keluarga arwah tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Kalau hendak tunggu isu ini viral baru hendak diambil langkah segera, maka saya mohon rakyat Malaysia bantu viralkan.
“Kepada saudara Zaiful dan isteri, Puan Zullaila, saya rekodkan di dewan ini tentang apa yang berlaku. Semoga akan ada pembelaan untuk Arwah Zulfan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Allahyarham Muhammad Zulfan, 16, adalah atlet bola sepak bawah 16 tahun di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor.
Difahamkan, sebelum ini bakat arwah sebagai penjaga gol membuatkannya berada dalam radar pemantauan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Satu laporan polis juga dibuat ibu bapanya pada April lalu, selepas hampir lima bulan tidak mendapat sebarang perkembangan mengenai kejadian menimpa anaknya.
© New Straits Times Press (M) Bhd