Jangan normalisasi penggunaan stiker lucah dalam aplikasi media sosial

Jangan normalisasi penggunaan stiker lucah dalam aplikasi media sosial

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penggunaan stiker lucah dalam aplikasi media sosial perlu dibendung terutama membabitkan pengguna kanak-kanak.

Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Novel Lyndon berkata, jika tidak dibedung, ia bakal membawa kesan jangka masa panjang yang serius.

“Normalisasi bahan berunsur seksual terhadap kanak-kanak boleh menghakis sensitiviti moral dan etika masyarakat terhadap penderaan seksual.

“Individu yang sering terdedah kepada kandungan sebegini berisiko tinggi untuk membentuk kecenderungan seksual yang menyimpang, termasuk pedofilia,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pendedahan berulang kepada mesej dan grafik lucah menyebabkan desensitisasi di mana seseorang itu menjadi kurang peka terhadap perlakuan tidak bermoral.

Katanya, perkara itu akan membuka ruang kepada tingkah laku seksual yang semakin ekstrem dan membuka ruang kepada peningkatan kes eksploitasi seksual termasuk penghasilan dan penyebaran bahan pornografi kanak-kanak.

Novel berkata, pemangsa kanak-kanak mengalami masalah psikoseksual yang rumit malah ada antara mereka menjadi mangsa seksual semasa kecil.

“Antara punca utama ialah gangguan psikologi atau psikiatri yang menyebabkan seseorang tidak mengalami perkembangan seksual yang normal, lalu menjadikan kanak-kanak sebagai objek keinginan seksual mereka.

“Dalam beberapa kes yang direkodkan individu terbabit juga mempunyai sejarah trauma atau pernah menjadi mangsa penderaan seksual semasa kecil, yang kemudiannya memberi kesan kepada cara mereka melihat hubungan dan keintiman.

“Selain itu, ketidakmatangan emosi dan kurangnya kemahiran sosial turut menjadi penyumbang disebabkan individu tersebut sukar atau menghadapi masalah dalam menjalin hubungan dengan orang dewasa, lalu melihat kanak-kanak sebagai lebih mudah didekati atau dikawal,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan dapatan kajian mendapati faktor neurobiologi seperti gangguan pada fungsi otak tertentu boleh mempengaruhi tingkah laku impulsif dan kecenderungan seksual yang menyimpang.

Katanya, pendedahan awal kepada bahan pornografi, terutamanya yang membabitkan kanak-kanak, juga boleh merosakkan panduan seksual seseorang dan menyebabkan mereka ketagih kepada kandungan yang tidak normal.

“Semua ini diperburukkan lagi dengan kurangnya kawalan diri dan pengaruh persekitaran, terutamanya dalam ruang siber yang semakin sukar dipantau.

“Justeru itu, adalah penting untuk masyarakat memahami bahawa isu ini bukan semata-mata soal jenayah, tetapi juga memerlukan pendekatan psikologi, rawatan, dan pencegahan yang menyeluruh.

“Pendidikan awal, pemantauan tingkah laku, serta sokongan kesihatan mental perlu diberi penekanan dalam usaha membendung gejala ini daripada terus merebak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top