am@hmetro.com.my
Masjid Tanah: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh mengingatkan pengundi supaya tidak memandang ringan tanggungjawab mereka pada 14 November ini yang bakal menentukan masa depan generasi akan datang.
Beliau berkata, keputusan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka itu akan menentukan kehidupan anak cucu dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
“Pada 14 hari bulan ini ialah hari jadi rakyat. Satu hari rakyat keluar menggunakan tangan untuk memberi mandat siapa hendak menguruskan hidup mereka.
“Hari inilah kita hendak tentukan sama ada 10 atau 20 tahun lagi anak cucu kita selamat ataupun tidak. Jangan main-main.
“Tangan kita yang memangkah, membina sebuah jambatan untuk kita wariskan kehidupan kita pada hari ini kepada anak cucu kita esok,” katanya ketika berucap pada ceramah kempen Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di Kampung Air Hitam Darat, malam tadi.
Ab Rauf yang juga calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara berkata, antara usaha yang dilaksanakan bagi manfaat generasi akan datang ialah pembangunan kampung digital untuk menambah baik sistem pengurusan masyarakat luar bandar.
Kata beliau, melalui inisiatif itu, setiap rumah akan diberikan alamat khusus yang boleh digunakan dalam pelbagai urusan termasuk pendaftaran persekolahan anak-anak.
“Bukan untuk saya dan bukan untuk kita. Apa yang kita buat ini ialah kaedah pengurusan yang akan dapat dirasai oleh anak cucu kita,” katanya.
Selain itu, usaha pendigitalan turut membabitkan tanah perkuburan dengan setiap kubur diberikan nombor bagi memudahkan waris mengenal pasti lokasi pusara ahli keluarga.
“Selaras dengan kampung digital, kita digitalkan kubur ini. Letak nombor, tidak kisahlah kubur sejak 200 tahun dahulu sehingga kubur yang terakhir.
“Jadi generasi yang mengenal nombor kubur ini, warisnya simpan elok-elok kerana 20 tahun lagi anak cucu boleh tahu kubur itu milik siapa,” katanya.
Ab Rauf berkata, penggunaan teknologi digital juga dapat membantu mempercepat urusan pentadbiran tanah, terutama membabitkan tanah pusaka yang mempunyai ramai waris.
“Apa yang hendak dibuat ialah untuk generasi akan datang hidup lebih selesa, lebih teratur,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, wakil rakyat perlu memahami masalah, kehendak dan keperluan penduduk sebelum dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
“Wakil rakyat ini kena jadi rakyat, kena tahu apa masalah rakyat, apa kehendak rakyat, apa keperluan rakyat, apa rintihan rakyat, baru boleh jadi wakil rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengundi supaya menggunakan peluang pada 14 November ini dengan sebaik mungkin.
“Tanggungjawab kita hari ini ialah untuk menjadikan anak cucu kita esok sekurang-kurangnya kita membina jambatan untuk mereka lalu.
“Niat kita ikhlas kerana kita hendak wariskan apa yang kita perjuangkan sekarang ini untuk anak cucu kita,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




