Kerajaan memberi jaminan bekalan makanan negara berada pada tahap mencukupi sekurang-kurangnya sehingga pertengahan tahun ini walaupun ketidaktentuan global susulan konflik di Asia Barat terus menjadi perhatian.
Bekalan makanan negara cukup
Menerusi sidang akhbar sempena Mesyuarat Khas Jemaah Menteri, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu menyatakan orang ramai tidak perlu bimbang mengenai kedudukan bekalan makanan kerana keadaan semasa masih stabil.
“Keadaan beras, daging ayam, telur, ikan, daging lembu, kerbau, susu segar, sayur, buah-buahan semuanya cukup sekurang-kurangnya sampai bulan lima dan enam yang akan datang,” katanya.
Menurut beliau, kebanyakan sumber import makanan Malaysia tidak melalui laluan konflik utama di Asia Barat.
“Untuk pengetahuan semua, import makanan kita kurang melalui Selat Hormuz itu. Banyak terlibat dengan India, Pakistan, ASEAN, Brazil, Argentina, New Zealand dan Australia, semuanya berada di sebelah sini,” katanya.

Bekalan beras ditambah
Mohamad turut memaklumkan Kabinet bersetuju meningkatkan stok simpanan beras bagi memastikan bekalan makanan terus terjamin.
“Beras pula sebab kabinet dah setuju kita tambah bekalan sampai ke sembilan bulan yang akan datang, ianya mencukupi,” jelasnya.
Dalam pada itu, kementerian akan mempergiatkan pelbagai inisiatif bagi memastikan rakyat terus mendapat bekalan makanan pada harga berpatutan.
Antara langkah tersebut termasuk memperluaskan program Jualan Agro Madani serta Jualan Rahmah yang menawarkan barangan makanan pada harga lebih rendah sehingga 30 peratus berbanding harga pasaran.
“Sekurang-kurang daripada pasaran biasa ia dapat turun daripada 10 hingga 30 peratus,” katanya.

Artikel lain: Konflik Asia Barat, Mat Sabu seru penjawat awam mula bercucuk tanam
Selain itu, kementerian turut memberi tumpuan kepada pengukuhan program komuniti bagi membantu menambah bekalan makanan kepada masyarakat.
“Kita akan mempergiatkan dan kalau perlu, kita sambung lagi supaya dapat menambahkan bekalan makanan terutama sekali ke dalam masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu beliau menasihatkan rakyat supaya tidak berasa cemas dan terus menjalani kehidupan seperti biasa.
“Buat masa ini tidak perlu kita berasa cemas apa-apa… sambutlah Hari Raya ini dengan biasa, insya-ALLAH makanan semuanya cukup dan terjamin bekalannya,” tambah Mohamad.
Sumber: Facebook Mohamad Sabu




