Jangan pendam masalah, selesaikan segalanya di MENTARI

Jangan pendam masalah, selesaikan segalanya di MENTARI

JERANTUT – Individu dilanda kemurungan, ingin meluahkan perasaan atau mahu membahayakan diri tetapi enggan mendapatkan rawatan di hospital sakit jiwa kini ada alternatif.

Mereka kini boleh menerima rawatan yang sama di Pusat Kesihatan Mental Masyarakat atau dikenali sebagai MENTARI, kata Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, MENTARI diwujudkan untuk memberi rawatan kepada orang awam yang takut dengan stigma masyarakat sekeliling.

“Di Pahang ada dua MENTARI di Mentakab dan Balok, Kuantan. Mereka boleh walk-in sahaja. Orang tak tahu sebab tiada signage klinik sakit jiwa pun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia Peringkat Negeri Pahang Tahun 2022 yang diadakan di Advanced Technology Training Center (ADTEC) di sini hari ini.

Menurut Nor Azimi, masyarakat juga harus lebih cakna apabila seseorang individu mula menunjukkan tanda-tanda awal kecenderungan untuk membahayakan diri.

Beliau berkata, insiden bunuh diri boleh dicegah dengan lebih berkesan jika kaum keluarga atau mereka yang terdekat dengan individu terbabit prihatin dan mendengar luahan perasaan mereka.

Jelasnya, antara faktor yang menyumbang kepada tingkah laku sedemikian adalah seperti isu psikososial dan persekitaran, isu kekeluargaan, penyakit mental seperti kemurungan, kurang sokongan sosial dan penyalahgunaan substans.

“Faktor yang mendorong kepada kejadian bunuh diri tu sangat banyak. Bukan terhad kepada mereka yang menghidap penyakit psikiatrik sahaja.

“Banyak juga yang berpunca daripada masalah kewangan, kekeluargaan, masalah sosial, atau jika seseorang itu dibuli, macam-macamlah,” katanya.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus

Tambah Dr. Nor Azimi, kejadian bunuh diri merupakan antara 10 penyebab utama kematian di dunia dan penyebab keempat kematian bagi mereka yang berumur antara 15 hingga 29 tahun.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan terdapat lebih daripada 703,000 kes kematian bunuh diri setiap tahun di seluruh dunia, dengan purata satu kejadian bunuh diri setiap 40 saat.

Dalam pada itu, beliau memberitahu,  terdapat peningkatan jumlah individu yang kemurungan dan tertekan terutama sewaktu pandemik Covid-19 melanda dunia.

Katanya, ramai yang terkesan dan tertekan akibat hilang punca pendapatan serta terbeban dengan hutang yang perlu dilangsaikan.

Namun, katanya, tekanan yang dihadapi pelajar sekolah juga merupakan antara yang sering dipandang ringan dan akhirnya akan menyebabkan tekanan emosi melampau.

“Kita lihat sekarang ini banyak juga kejadian buli berlaku di sekolah. Macam-macam sebenarnya tekanan yang dihadapi pelajar di sekolah. Tekanan untuk berjaya dapat ‘A’ yang banyak, semua itu bentuk tekanan,”ulasnya.

Jika ia tidak dibendung lebih awal, Dr. Nor Azimi berkata, mungkin ia akan menjurus kepada berlakunya kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, beliau berkata, program pencegahan bunuh diri ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bersama dengan pelbagai agensi dan masyarakat.

Sambutan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia Peringkat Negeri Pahang pada hari ini melibatkan seramai 200 orang pelajar daripada lima buah sekolah sekitar daerah Jerantut iaitu SMK Jerantut, SMK Inderapura, SMK Temin, SMK Padang Saujana dan SMKA Tengku Ampuan Hajah Afzan.

Selain itu, sambutan ini juga melibatkan pelajar-pelajar institusi ADTEC Jerantut serta agensi-agensi luar seperti Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Pendidikan Daerah dan Polis Diraja Malaysia. – MalaysiaGazette