'Jangan redah laluan digenangi banjir kerana arusnya deras'

'Jangan redah laluan digenangi banjir kerana arusnya deras'

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Penduduk serta pengguna jalan raya di sini, dinasihati supaya tidak meredah laluan yang digenangi air bah susulan arusnya yang deras dan berbahaya untuk dilalui.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Yusof Othman berkata, ia susulan kejadian sebuah kenderaan yang cuba meredah laluan digenangi banjir di Jalan Lukut Cina berhampiran Taman Aman, di sini, awal pagi tadi, hanyut dibawa arus.

Bagaimanapun, katanya, pemandu berusia 52 tahun itu berjaya diselamatkan selepas kenderaan dinaiki tersangkut pada wayar tiang elektrik di lokasi berkenaan.

“Pengguna jalan raya dinasihati supaya sentiasa berwaspada dan tidak meredah laluan digenangi banjir walaupun menganggap ia masih boleh dilalui dan tidak dalam.

“Banjir yang menenggelamkan jalan selalunya berarus deras dan ia membahayakan pengguna jalan raya serta merisikokan nyawa jika kenderaan dinaiki hanyut dibawa arus,” katanya dihubungi.

Dalam kejadian jam 5 pagi tadi, seorang lelaki berjaya diselamatkan apabila kenderaan dipandunya hanyutkan arus dengan proses mengeluarkan mangsa yang terperangkap disaksikan Yusof.

Sementara itu, Yusof turut menasihati penduduk di kawasan rendah supaya sentiasa berjaga-jaga selain mematuhi arahan pemindahan dikeluarkan pihak berkuasa.

Katanya, setakat ini, penduduk terjejas banjir memberikan kerjasama apabila arahan pemindahan dikeluarkan.

“Namun ada penduduk yang mengambil sikap tunggu dan lihat dan hanya berpindah jika mereka merasakan keadaan tidak selamat selain paras air semakin meningkat.

“Saya minta penduduk yang kediaman mereka dinaiki air supaya segera berpindah kerana melihat keadaan paras air semalam, ia meningkat dengan begitu pantas.

“Jika paras air mula meningkat, namun penduduk mahu menunggu paras air lebih dalam sebelum berpindah, ia akan merisikokan nyawa mereka dan penyelamat, sekali gus menyukarkan kerja menyelamat dilakukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top