Jangan sampai warga Rohingya `jajah' Kelantan 20 tahun lagi

Jangan sampai warga Rohingya `jajah' Kelantan 20 tahun lagi

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Aktivis masyarakat menggesa kerajaan negeri Kelantan menggubal atau melakukan penambahbaikan enakmen sedia ada bagi melarang tanah milik persendirian disewakan kepada warga asing termasuk komuniti Rohingya.

Abbe Hae atau nama sebenarnya Mohd Azhan Mohd Adnan yang juga pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan berkata, pendekatan itu bagi mengekang peningkatan komuniti etnik Rohingya di negeri ini yang meresahkan penduduk setempat.

Katanya, jika enakmen sedia ada kini menyebabkan kerajaan negeri tidak boleh mengambil sebarang tindakan terhadap pemilik tanah maka penambahbaikan enakmen itu perlu dilakukan.

“Perlu ada undang-undang yang jelas iaitu melarang mana-mana tanah persendirian disewakan kepada warga asing termasuk Rohingya.

“Saya yakin kerajaan negeri mampu melakukan penambahbaikan undang-undang itu sekiranya serius dalam isu menangani kebanjiran warga asing,” katanya.

Jelasnya, jika perkara itu tidak dilaksanakan dari sekarang, mungkin tanah di negeri ini akan dikuasai warga asing termasuk Rohingya 20 tahun akan datang.

Media sebelum ini melaporkan, ladang sireh seluas lebih dua hektar dikesan diusahakan etnik Rohingya di Kampung Padang Guchil, di Tanah Merah sejak beberapa tahun lalu.

Aktiviti itu menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat.

Ladang yang dibina dengan junjung kayu secara tersusun itu difahamkan disewa daripada pemilik tanah yang berada di luar Kelantan pada kadar RM600 hingga RM1,000 bagi setiap hektar, sebelum hasilnya dijual kepada pemborong.

Lebih membimbangkan, penduduk mendakwa kehadiran etnik Rohingya di kampung berkenaan bermula dengan sekitar 15 orang 10 tahun lalu sebelum meningkat kepada hampir 100 orang.

Selain menyewa tanah untuk penanaman ladang sireh, komuniti itu turut menyewa kediaman penduduk pada kadar RM250 hingga RM300 sebulan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top