Jangan sangka anda terlepas begitu sahaja – Nichkhun 2PM

Jangan sangka anda terlepas begitu sahaja – Nichkhun 2PM

SEOUL: “Saya akan heret anda ke muka pengadilan.”

Demikian amaran dilayangkan anggota kumpulan 2PM, Nichkhun terhadap individu yang bertindak mengekori dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya ketika dia bersiar-siar di kawasan awam, baru-baru ini.

Menulis panjang lebar di media sosial, Nichkhun Buck Horvejkul menyifatkan tingkah laku individu berkenaan sebagai satu pencerobohan terhadap ruang peribadinya justeru perlu diambil tindakan.

“Individu tersebut mengekori selama 30 minit sambil melayangkan kata-kata kesat kepada saya dalam bahasa Cina.

“Kehadirannya menyukarkan saya pulang ke rumah justeru saya mengambil keputusan untuk terus singgah ke balai polis berdekatan bagi membuat aduan.

“Saya kemudian dihantar pulang dengan menaiki kenderaan polis kerana khuatir individu berkenaan terus mengekori sampai ke rumah.

“Kepada individu itu, anda telah menceroboh ruang privasi saya dan menyerang saya dengan kata-kata kesat. Jangan sangka anda terlepas begitu sahaja,” tegasnya.

Nichkhun dalam masa yang sama memberi amaran kepada pelaku agar tidak memunculkan diri dihadapannya lagi.

“Saya ingat wajah anda dan tahu di mana sekolah anda. Jangan sesekali muncul lagi di hadapan saya atau datang ke acara membabitkan saya.

“Peminat sebenar tidak akan sesekali menceroboh ruang peribadi saya kerana mereka faham yang saya juga manusia biasa yang perlukan masa untuk bersendirian.

“Saya tahu saya kedengaran beremosi. Tetapi perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan. Jadi jangan sesekali muncul lagi atau anda tanggung akibatnya,” ujarnya.

Scroll to Top