Jangan sembunyi anak OKU di rumah

Jangan sembunyi anak OKU di rumah

KUALA LUMPUR – Ibu bapa yang memiliki anak orang kelainan upaya (OKU) dinasihatkan tidak menyembunyikannya daripada orang ramai kerana tindakan itu boleh menjejaskan perkembangan mereka pada masa depan.

Pengerusi Yayasan Raise Yourself to Help Mankind (Rythm), Datin Seri Umayal Eswaran berkata, anak-anak istimewa itu sepatutnya dibawa keluar bergaul dengan masyarakat dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kanak-kanak OKU di negara ini.

Apatah lagi kata beliau, banyak sekolah pendidikan khas untuk anak OKU telah ditubuhkan dan ibu bapa boleh memasukkan mereka di sekolah tersebut dalam membantu kehidupan mereka.

“Apa yang penting sebagai ibu bapa dan masyarakat, kita tidak boleh mengabaikan mereka sebalik menerima kewujudan mereka sebagai anak istimewa.

“Kemudianya, barulah kita boleh meneruskan apa yang sepatutnya yang dilakukan seperti menyebarkan kesedaran kepada orang ramai.

“Sebagai ibu bapa yang memiliki anak OKU mahu lihat mereka dapat hidup secara normal dan boleh menghantar sekolah pendidikan boleh membantu perkembangan kanak-kanak itu,” katanya pada Hari Tahunan Sekolah Taarana di sini semalam.

Persembahan oleh kanak-kanak OKU bukan sahaja mempamerkan bakat pelajar tetapi juga memupuk semangat inklusiviti dan kreativiti golongan itu.

Program tahunan itu menonjolkan bakat  24 pelajar sekolah itu dalam usaha sekolah itu menekankan persekitaran pembelajaran dan pembangunan yang menyeluruh di mana pelajar terlibat telah berlatih persembahan mereka selama beberapa bulan untuk  menjayakan persembahan.

Mengulas lanjut, Umayal berkata, persembahan oleh kanak-kanak OKU bukan sahaja mempamerkan bakat pelajar tetapi juga memupuk semangat inklusiviti dan kreativiti yang dipupuk di sekolah itu.

“Kita tidak boleh berputus asa dengan anak-anak kita tetapi memupuk kemahiran dan bakat mereka. Jika mereka tidak boleh cemerlang dalam bidang akademik, bimbing mereka dalam perkembangan mereka dan mendorong bakat mereka yang minati,” katanya.

Sementara itu, Sekolah Taarana yang ditubuhkan pada 2011 di bawah Yayasan Rythm menyediakan bantuan dan sumber untuk kanak-kanak dengan keperluan pendidikan khas.

Sekolah tersebut berusaha untuk mencungkil potensi kanak-kanak dan membantu mereka mengenal pasti kekuatan serta menyediakan mereka untuk berdikari dan menjalani kehidupan yang baik. – MalaysiaGazette