JIKA dahulu isu kesihatan psikologi dilihat tabu sehingga ada yang sanggup menderita untuk mengelakkan daripada dianggap gila dan disisih masyarakat.
Biarpun begitu, kini kesedaran terhadap masalah kesihatan ini mula mendapat perhatian dalam pelbagai peringkat lapisan masyarakat dan latar belakang termasuk penjawat awam, pekerja swasta dan sebagainya.
Ikuti temu bual Pakar Motivasi Kepimpinan Diri, Keluarga dan Organisasi, DR AZURAIDA SHAHADAN bersama wartawan, MUHAMAAD RAZIS ISMAIL bagi mengupas isu ini.
Bagaimana Dr melihat situasi kesihatan psikologi yang merekodkan jumlah yang tinggi dan sejauh manakah keseriusan masalah ini?
Kesihatan mental harus dilihat secara serius tidak kisahlah sama ada ia terjadi dalam kalangan penjawat awam atau penjawat swasta atau mungkin suri rumah dan pelajar, sama penting dan serius. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan 280 juta manusia di dunia ini mengalami depresi, 980 juta masalah mental. Seramai 4.2 juta rakyat Malaysia mengalami stres dan kebimbangan melampau. Pada tahun 2030 kemurungan akan menjadi punca utama penyakit global. Makanya perkara ini harus dilihat dengan lebih serius kerana ia memberi kesan kepada produktiviti kerja, kesejahteraan hidup dan indeks kebahagiaan.
Mengapakah keadaan ini boleh berlaku, adakah disebabkan bebanan kerja yang semakin bertambah atau ada sebab lain?
Pada pendapat peribadi saya, tekanan kerja tetap sama, dulu kerja sekarang pun kerja, tetapi faktor luaran yang lain memberi kesan, yang menyebabkan kita terasa beban terhadap tekanan itu. Antara faktornya adalah kos hidup meningkat, penjagaan diri dan mental berkurang, pendedahan pada teknologi meningkat dan sosialisasi berkurang. Wujud ketidakseimbangan hidup dalam pengurusan masa yang lemah. Ramai orang tahu mereka stres, tetapi mereka tetap abaikan penjagaan mental. Ramai orang tahu media sosial mampu melalaikan, tetapi mereka tetap menatap sehingga menghabiskan masa yang banyak dan akhirnya terlepas untuk melakukan perkara lain.
Pada pandangan Dr, mengapa penting untuk menangani isu kesihatan psikologi ini dalam kalangan masyarakat di negara ini?
Seandainya kita tidak menangani isu ini, ia bukan hanya memberi impak kepada diri tetapi juga pada individu di sekeliling kita. Kehidupan akan penuh dengan manusia yang bermasam muka, sedih dan mudah marah, menyebabkan kerenggangan dalam hubungan sosial dan keluarga, serta berlakunya sindrom “kejayaan dalam kesedihan” yang mana, walaupun kita berjaya dalam melakukan sesuatu dan mencapai sesuatu namun hidup kita masih lagi tidak tenang dan berada dalam kesedihan. Emosi kesedihan atau kemurungan yang kuat mampu menyebabkan seseorang menyingkirkan diri atau dalam sesetengah kes membunuh diri. Maksudnya, walaupun berjaya, walaupun duit banyak, ramai pengikut, tapi stres kemurungan atau keresahan akhirnya akan menyebabkan seseorang itu tidak pernah rasa puas dan bahagia secara dalaman.
pakah kesan yang boleh berlaku sekiranya masalah ini tidak ditangani segera?
Ia menimbulkan masalah K.E.S.I.H.A.T.A.N . Ini adalah akronim yang saya cipta bagi memudahkan kita mengingati kesan masalah psikologi jika tidak ditangani. K- Kognitif, E- Emosi, S – Sosial. I – Ingatan dan Fokus, H – Hubungan peribadi, A – Aktiviti Harian, T – Tekanan kewangan, A – Anak dan Keluarga, N – Nilai diri.
Apakah kaedah terbaik untuk menangani masalah kesihatan psikologi ini daripada menjadi lebih serius?
Pada pendapat saya terdapat dua kaedah yang boleh diguna pakai. Pertama fokus pada diri sendiri, dan yang kedua faktor luaran iaitu orang lain. Individu perlu ada kesedaran dan pendedahan kena tahu apa nak buat jika stres, kena faham diri dan tangani sebaiknya dengan diri. Selain itu terdapat faktor luaran termasuk peranan orang lain seperti media, agensi, keluarga untuk terus memberi sokongan, pendedahan dan bantuan.
Apakah harapan dan nasihat berhubung kesihatan mental?
Sebatang mancis sangat mudah untuk dipatahkan namun seikat mancis pasti tidak mudah dipatahkan. Kalau kita sendirian menanggung beban dan tidak mengatasi dengan stres, memang kita rasa berat. Rasa mudah koyak, dan sakit. Tapi bila kongsi beban dan minta bantuan, maka di situ kita akan terasa ringan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




