Jangan terima bulat-bulat maklumat dari 'palatau' – Peguam

Jangan terima bulat-bulat maklumat dari 'palatau' – Peguam

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perlu belajar tapis dan semak fakta.

Itu nasihat peguam Dr Mahmud Jumaat mengenai sikap pengguna media sosial yang percaya sepenuhnya apa yang ditulis dan dikongsi tanpa maklumat lengkap mengenai sesuatu isu.

Katanya, perlu difahami bahawa liabiliti yang sama perlu ditanggung sekiranya seseorang itu berkongsi atau menyebarkan terbitan yang dihasilkan orang lain.

“Kalau seseorang kongsi satu video atau kenyataan yang tidak benar (walaupun dia bukan pencipta asal), dia juga boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Bila ada isu viral, memang boleh buat orang panik, tambah pula kes itu tengah disiasat.

Kalau saksi atau tahu cerita kenapa tak terus lapor kepada polis,” katanya.

Dr Mahmud berkata, dalam dunia maya hari ini semua pihak perlu bersikap seperti wartawan yang rasmi dengan mengambil kira kesan satu-satu hantaran yang dibuat.

“Apa yang kita kongsi boleh bentuk persepsi orang, boleh cetus panik, atau boleh sakiti hati orang lain,” katanya.

“Ada beza antara nak didik dan nak sensasikan. Sebagai pembaca dan pengguna media sosial, kita perlu lebih berhati-hati semak cerita itu sebelum percaya bulat-bulat,” katanya.

Menurutnya, sikap pengguna media sosial di negara ini yang memandang ringan tindakan memberi pendapat atau komen mengenai sesuatu isu boleh mengundang padah jika didapati bersalah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata, walaupun sesuatu hantaran berkenaan sudah pun diturunkan, mereka tetap berdepan dengan implikasi undang-undang.

Katanya, isu itu tidak boleh dipandang ringan apatah lagi pengguna media sosial merasakan mereka selamat dan identiti tidak dapat dijejaki.

Selain itu katanya, menjadi kebiasaan kepada pengguna internet untuk memberi komen mengenai apa juga isu apatah lagi yang mendapat liputan meluas dalam negara sehingga lupa mereka masih tertakluk kepada undang-undang sedia ada.

“Mereka yang menggunakan aplikasi laman sosial media miliknya untuk memuat naik suatu komunikasi sama ada berbentuk apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain boleh berdepan tindakan.

“Lebih teruk jika komunikasi itu sifatnya lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dan dimuat naik dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain,” katanya.

Paling penting katanya, kesedaran undang-undang dalam talian adalah amat penting untuk memastikan pengguna media sosial menyedari bahawa mereka bertanggungjawab atas tindakan mereka dalam dunia digital.

“Perkara ini perlu dilihat dengan serius kerana kebanyakan pengguna laman media sosial ini lebih gemar memberikan pendapat secara bebas dan komen-komen yang jelek dan bagi tujuan menyakitkan hati orang lain.

“Justeru, berhati-hati dan berpada-padalah menggunakan media sosial. Jangan sesekali kita lupa setiap patah perkataan atau video yang dihasilkan dipantau, serta diteliti banyak pihak,” katanya.

Terdahulu akhbar ini melaporkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menurunkan sebanyak 16,110 kandungan berita palsu setakat 1 Ogos lalu.

Terbaharu, susulan kes Zara Qairina Mahathir, 13, suruhanjaya itu berjaya mengesan individu di sebalik akaun TikTok ‘Dato’ Prof Dr Tunku Iskandar’ yang menyamar sebagai pakar patologi serta mendakwa terbabit dalam proses bedah siasat kematian Allahyarham Zara Qairina.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top