firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kenaikan satu anak tangga dalam ranking terbaru Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) pastinya menaikkan moral skuad Harimau Malaya menjelang kempen Piala AFF pada 8 Disember ini.
Menurut bekas pemain kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan, kenaikan daripada 133 kepada 132 perlu dilihat secara positif di mana ia bakal memberi suntikan motivasi buat anak buah Pau Marti Vicente untuk berjuang di Piala AFF nanti.
Bagaimanapun, bekas jurulatih skuad Harimau Malaya itu mengingatkan pasukan negara agar tidak terlalu mendabik dada kerana perjalanan pasukan masih jauh, di mana Malaysia masih berada berada di belakang Thailand, Vietnam dan Indonesia yang masing-masing menghuni kedudukan pertama, kedua dan ketiga di Asia Tenggara.
“Ranking ini penting apabila undian dilakukan kerana ia akan menentukan kedudukan dalam balang sebelum undian dilaksanakan seperti Piala Asia, Kelayakan Piala Dunia dan juga Kelayakan Piala Asia.
“Ia bagi mengelak kita berada sekumpulan dengan pasukan kuat lebih awal dan disitulah pentingnya ranking untuk kita.Tetapi kalua tanya saya, apa yang lebih penting adalah tahap persediaan pasukan itu sendiri.
“Jika kita menyediakan pasukan dengan baik, saya fikir kita boleh saja menentang mana-mana pasukan walaupun mungkin ranking pasukan lawan lebih tinggi. Pemain perlu bersiap sedia dalam apa jua pertandingan atau perlawanan di mana perkara itu lebih mustahak. Saya harap pemain tidak terlalu memikirkan soal ranking apabila beraksi di Piala AFF nanti kerana lawan lain juga mampu kejutkan kita jika tidak bersedia sebaiknya,” katanya.
Berdasarkan kedudukan ranking itu, skuad Harimau Malaya berada di posisi keempat Asia Tenggara di belakang Thailand yang menghuni tangga 97 dunia, Vietnam 116 dan Indonesia 125. Di Asia pula, skuad kendalian Vicente berada di tangga ke-24.
Pada saingan Piala AFF nanti, pasukan negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama Thailand, Kemboja, Singapura dan Timor Leste.
Aksi pertama Malaysia berdepan Kemboja pada 8 Disember ini yang dijadual berlangsung di Phnom Penh sebelum meneruskan aksi bertemu Timor Leste di Bukit Jalil (1 Disember), Thailand di Bangkok (14 Disember) dan Singapura di Bukit Jalil (20 Disember).
Untuk rekod, kenaikan ranking ini susulan kejayaan menewaskan Laos 3-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 pada 14 November dan seri 1-1 dengan India empat hari kemudian.
© New Straits Times Press (M) Bhd