‘Jangan tolak kajian UIAM hanya kerana tidak selari agenda politik’ – Bibi Sunita

‘Jangan tolak kajian UIAM hanya kerana tidak selari agenda politik’ – Bibi Sunita

KUALA LUMPUR – Dapatan kajian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berhubung cadangan pelaksanaan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PRKT) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak wajar ditolak hanya kerana tidak selari dengan agenda politik.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Wawasan Negara, Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, sesebuah hasil penyelidikan perlu dinilai berdasarkan metodologi, analisis dan kesimpulannya dari sudut akademik, bukannya atas pertimbangan politik.

Beliau berkata, dakwaan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang mempertikaikan kajian tersebut dan bertegas mengadakan PRKT perlu dilihat secara lebih ilmiah.

“Persoalan utama bukanlah sama ada seseorang ahli politik bersetuju atau tidak dengan dapatan tersebut, tetapi sama ada beliau mampu membuktikan bahawa metodologi, analisis dan kesimpulan kajian itu cacat dari sudut akademik.

“Jika tidak, kritikan yang dibuat hanyalah bersifat pendapat politik, bukannya penilaian ilmiah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, UIAM mempunyai reputasi antarabangsa serta tradisi penyelidikan yang diiktiraf.

“Kajian mengenai kebolehlaksanaan PRKT bukan disediakan secara tergesa-gesa, sebaliknya dijalankan sejak Disember 2025 atas mandat kerajaan.

“Kajian berkenaan turut mengambil kira pelbagai aspek termasuk perundangan, pentadbiran, kewangan dan implikasi dasar,” katanya lagi.

Bibi Sunita berkata, sebarang persoalan terhadap hasil kajian sepatutnya dibawa menerusi wacana ilmiah, semakan rakan sebaya, kritikan metodologi atau penyelidikan susulan dan bukannya penolakan atas dasar politik.

Pada masa sama, beliau berpandangan pelaksanaan PRKT bukan keutamaan rakyat ketika negara masih berdepan pelbagai isu termasuk kos sara hidup kemampuan memiliki rumah dan pengangkutan awam.

“Menambah satu lagi lapisan pilihan raya akan membawa implikasi yang besar iaitu meningkatkan kos kepada kerajaan dan pembayar cukai dan memanjangkan suhu politik sehingga ke peringkat kerajaan tempatan.

“Selain itu, ia membuka ruang kepada persaingan politik yang lebih sengit dalam pentadbiran bandar serta mengalihkan fokus pihak berkuasa tempatan (PBT) daripada penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” jelas beliau.

Sebaliknya, beliau mencadangkan sistem sedia ada diperkukuh menerusi reformasi pentadbiran termasuk meningkatkan ketelusan, memperkukuh audit prestasi, memperluas libat urus awam, memperketat mekanisme integriti serta memastikan pelantikan ahli majlis dibuat berdasarkan kompetensi dan kepakaran.

Ujar beliau lagi, sebelum ini kerajaan sendiri mempertahankan keupayaan UIAM sebagai institusi penyelidikan yang berwibawa ketika universiti berkenaan dipilih menjalankan kajian berhubung pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.

“Negara ini memerlukan dasar yang dibina atas fakta, bukti dan penyelidikan, bukannya semata-mata retorik politik.

“Sebarang cadangan pembaharuan terhadap sistem pentadbiran tempatan hendaklah diputuskan berdasarkan kepentingan nasional, kesejahteraan rakyat serta bukti empirikal yang kukuh,” katanya yang turut menyokong usaha UIAM itu.

 

Scroll to Top