Jangan tunggu tular! Tiada alasan, PBT perlu proaktif selenggara fasiliti awam -Hannah Yeoh

Jangan tunggu tular! Tiada alasan, PBT perlu proaktif selenggara fasiliti awam -Hannah Yeoh

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengingatkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak menjadikan video tular sebagai pencetus utama tindakan, sebaliknya memastikan aspek penyelenggaraan, kebersihan dan keselamatan sentiasa diberi perhatian secara berterusan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu kemudahan awam di Putrajaya yang dibangkitkan netizen menerusi media sosial, termasuk dakwaan kerosakan lif dan eskalator di beberapa lokasi tumpuan pelancong.

Menurut Hannah, Perbadanan Putrajaya (PPj) telah mengambil tindakan segera dengan turun padang dan melaksanakan beberapa kerja pembaikan susulan aduan yang diterima.

“Putrajaya merupakan hab pelancongan. Jadi Perbadanan Putrajaya, pimpinan mereka telah turun (padang) dan laksanakan sedikit pembaikan.
“Tetapi, untuk masa hadapan, dari segi isu penyelenggaraan ini, saya rasa semua PBT (perlu ambil perhatian). Isu penyelenggaraan terutama (lokasi) yang ramai pelancong datang, tak ada alasan untuk isu kebersihan dan yang keduanya isu keselamatan. Jadi saya minta (PBT) kerap turun padang untuk pantau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di tapak penjaja dekat Jalan 3/48A berhampiran Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sentul, di sini hari ini.

Mengulas sama ada beliau akan menghubungi pihak pengurusan PPj berhubung dakwaan keadaan di Putrajaya yang semakin kotor selain infrastruktur dan kemudahan awam yang uzur, Hannah berkata perbincangan telah pun dilakukan dan beberapa pembaikan sedang dilaksanakan.

Jelas beliau, masalah melibatkan aspek penyelenggaraan harian atau ‘housekeeping’ sepatutnya ditangani secara konsisten dan bukannya hanya selepas sesuatu isu menjadi tular di media sosial.

Dalam pada itu, Hannah turut mengingatkan pengguna media sosial supaya lebih berhati-hati dan bijak menilai sesuatu isu yang tersebar di platform digital.

Katanya, video tular sering kali hanya memaparkan sebahagian kecil daripada keseluruhan situasi sebenar.

“Untuk pengguna media sosial, mereka kena selalu tahu ada banyak sudut dan aspek yang mereka kena teliti sebelum viralkan isu-isu. Sekarang ini semua orang boleh jadi wartawan, tetapi info dan fakta yang diberikan mungkin hanya 10 peratus.
“Di Kuala Lumpur kita ada berjuta penduduk. Setiap isu (yang tular) itu, ada beberapa pandangan yang kita kena dengar, bukan saja isu pembuat video itu. Jadi pengguna media sosial kena bijak dan kena pandai menilai,” pesannya.

Terdahulu, media melaporkan PPj berikrar mempercepatkan kerja-kerja pemulihan di pusat pentadbiran negara itu susulan laporan mengenai kemerosotan kemudahan awam, termasuk eskalator rosak dan laluan pejalan kaki yang semakin uzur.

Presiden PPj, Datuk Mohd. Sakeri Abdul Kadir berkata, pihaknya sedang melaksanakan kerja pembaikan secara berperingkat berikutan kos yang tinggi bagi penyelenggaraan menyeluruh.

Sumber: Kosmo! Online (Nur Alwani Zafirah Khairul)

Scroll to Top