'Jangan ulang kesilapan lalu, adakah kita nak letak juruterbang dalam 'keranda terbang' ? – Agong

'Jangan ulang kesilapan lalu, adakah kita nak letak juruterbang dalam 'keranda terbang' ? – Agong

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama yang sudah berusia lebih 30 tahun.

Baginda yang juga pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengingatkan MINDEF supaya tidak mengulangi kesilapan lalu.

“Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat SkyHawk secara second-hand. Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’? awak fikirlah sendiri.

“Saya percaya ini semua berlaku kerana di Kementerian Pertahanan penuh dengan ‘agent’ atau bekas Jeneral yang menjadi ‘salesman’, malah ada syarikat penjual kain pun masuk hendak jual ‘drone’.

“Kalau semua pembelian kena ikut harga orang tengah, maka peruntukan yang ada tidak akan cukup.

“Jangan cuba nak temberang saya. Jika tidak mahu dengar cakap saya, selepas ini saya tidak akan menegur lagi,” titahnya seperti dikongsi di Facebook baginda hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Titah Diraja sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-60 di Kem Iskandar, Mersing, Johor, hari ini.

Sementara itu, baginda juga menitahkan kerajaan supaya memberi keutamaan kepada peningkatan tahap kesiapsiagaan Rejimen Gerak Khas dengan memastikan setiap perolehan aset tentera dibuat secara teliti, iaitu berlandaskan harga pasaran dan keperluan sebenar pengguna, bukannya mengikut cadangan ejen semata-mata.

Baginda bertitah, pembelian aset yang tidak relevan atau terlalu mahal bukan saja merugikan, malah membazirkan peruntukan negara.

“Jangan buang masa beli barang yang merepek dan tidak sesuai dengan keperluan tentera. Kalau tidak tahu harga, tanya saya dahulu,” titah baginda.

Baginda mengimbas kembali teguran baginda lima tahun lalu berhubung pembelian bot Rigid Riding Craft (RRC) untuk komando pada harga RM5 juta, sedangkan bot yang lebih baik boleh diperoleh di bawah RM2 juta.

Sultan Ibrahim juga bertitah, cadangan membeli bot yang sama tapi dengan saiz lebih besar bernilai RM10 juta sebagai tidak masuk akal dan harus diteliti secara betul.

“Selain daripada harga, kualiti barang yang dibeli juga perlu diutamakan. Apa sudah jadi dengan kolam selam tempur di kem ini yang sepatutnya siap pada 2022, tetapi sehingga kini masih belum boleh digunakan,” titah baginda.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top