Kuala Lumpur : Penyanyi Liza Hanim mengakui kecewa dan berasa terluka selepas membaca hantaran luahan anaknya, Marsya Qistina di Instagram Story (IGS) yang menjadi mangsa diperlekehkan segelintir pihak kerana sangat memahami perasaan itu.
Liza atau nama sebenarnya Haliza Hanim Abdul Halim, 47, berkata, itulah sebabnya selama ini dia dan suaminya, Shahrin Samsudin berusaha melindungi anak mereka daripada industri hiburan.
“Kami tidak mahu mereka berdepan kerunsingan. Menyertai Talk To My Manager (TTMM) adalah satu peluang untuk Marsya mengetengahkan bakat dan minat dalam nyanyian.
“Bagaimanapun, pada masa sama ia menjadi risiko kepadanya dalam dunia kejam dalam talian. Dia mewarisi peminat serta pembenci saya. Dia baharu bermula dalam kembara nyanyiannya dan bayangkan keadaan mentalnya apabila diperlekeh dan diejek.
“Semuanya berlaku sewaktu dia sedang bergelut dengan pelajaran yang menuntut 100 peratus perhatian masanya,” katanya.
Penyanyi lagu Gelisah Mimpi itu menjelaskan, sewaktu menyertai TTMM pun, Marsya masih gigih belajar. Malah, anaknya itu turut berdepan fasa ‘titik pecah’ selain kehilangan rakan karib akibat kanser.
“Marsya sangat kuat, mama percaya. Namun, dia juga seorang manusia. Begitu juga adik-adiknya di TTMM. Berhenti membuli mereka,” katanya.
Menerusi hantaran Marsya, 22, meluahkan perasaan terkilan apabila ada pihak mempersoalkan mengapa dia tidak mampu mengendalikan tekanan belajar sekarang sedangkan mampu berbuat demikian sewaktu sedang bertanding dalam TTMM.
© New Straits Times Press (M) Bhd




