'Janganlah fikir nak jual, sewakan pun saya tak bagi' – Titah Sultan Pahang kepada penerima Ru'RASA

am@hmetro.com.my

Kuantan: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan semua penerima Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) tidak sesekali menjual atau menyewakan rumah itu kepada pihak lain.

Baginda menegaskan rumah yang dikurniakan itu tidak boleh dijual atau disewakan kerana ia disediakan khusus untuk manfaat penerima dan keluarga mereka.

“Janganlah fikir nak jual atau nak sewakan. Sewa pun saya tak bagi. Ini khas untuk awak semua. Kalau Allah SWT dah panggil kita (meninggal dunia), turun (diwarisi) ke anak cucu pula.

“Tak boleh dijual atau disewa,” tegas baginda pada Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) Fasa 2 Daerah Kuantan dan Jerantut di pekarangan tapak Rumah Ru’RASA, Tanjung Lumpur, di sini, semalam.

Turut berangkat, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Yang turut hadir, Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia, Dr Mubarak Saeed Ahmed Al Dhaheri; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang (LPHP), Datuk Ahmad Islanizam A.Halim.

Titah baginda itu disiarkan di Facebook Kesultanan Pahang.

Dalam titah berasingan, baginda menzahirkan penghargaan kepada UAE atas kerjasama dan keprihatinan dalam membantu rakyat Pahang, khususnya melalui penyediaan kediaman serta bantuan lain yang diperlukan.

“Sekali lagi, saya ingin menyatakan penghargaan atas keprihatinan membantu rakyat saya di Pahang dengan menyediakan rumah dan beberapa bentuk bantuan lain apabila diperlukan.

“Kita sentiasa mendoakan kesihatan, kesejahteraan dan umur yang panjang kepada Yang Amat Mulia Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan (Presiden UAE) serta keselamatan Yang Amat Mulia sekeluarga serta rakyat UAE,” titah baginda.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top