Jangkaan perang AS-Iran reda dorong ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS

Jangkaan perang AS-Iran reda dorong ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS

RINGGIT meneruskan pengukuhan awal untuk ditutup meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, didorong sentimen optimis kalangan peniaga pasaran susulan isyarat kemungkinan perang AS-Iran bakal berakhir.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.0240/0295 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0475/0520, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, peniaga pasaran sedang memantau petanda kemungkinan krisis itu reda sebagaimana dinyatakan oleh Presiden Donald Trump mengenai hasrat untuk berundur daripada kawasan terbabit dalam tempoh beberapa minggu lagi.

“Sehubungan itu, perkembangan ini hanya mencetuskan sentimen optimis dalam kalangan peniaga yang turut mendorong pembelian ringgit,” katanya kepada Bernama.

Pada masa sama, beliau berkata, indeks dolar AS jatuh sebanyak 0.35 peratus kepada 99.613 mata, sekali gus membuktikan kelemahan mata wang itu selain memaparkan kemungkinan perang itu bakal berakhir.

Lebih memburukkan keadaan, Mohd Afzanizam berkata, wujud petunjuk pasaran guna tenaga AS makin lemah selepas jumlah kekosongan jawatan di negara maju itu berkurangan kepada 6.88 juta bagi Februari berbanding 7.24 juta pada bulan sebelumnya.

“Pasaran berkemungkinan akan terus meneliti data akan datang, terutama laporan penggajian bukan perladangan bagi Mac dan jangkaan kemungkinan pelonggaran dasar monetari oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) makin meningkat apabila tumpuan beralih merangsang pertumbuhan serta menyokong pasaran guna tenaga.

“Ini boleh menjadi pemangkin kelemahan indeks dolar AS dalam masa terdekat. Namun, saya berpendapat keadaan masih tidak menentu dan akan terus dipengaruhi oleh perkembangan perang AS-Iran,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit turut diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain, termasuk susut berbanding pound Britain kepada 5.3507/3580 daripada 5.3484/3543 semalam.

Ringgit juga susut nilai berbanding yen Jepun kepada 2.5358/5394 daripada 2.5351/5381 sebelum ini dan rendah berbanding euro kepada 4.6666/6730 daripada 4.6417/6468.

Selain itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Berbanding dolar Singapura, ringgit susut kepada 3.1369/1414 daripada 3.1361/1399 dan rendah berbanding peso Filipina kepada 6.68/6.69 daripada 6.66/6.67.

Ringgit mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 236.9/237.3 daripada 237.5/237.8 dan meningkat kepada 12.2726/2926 berbanding baht Thailand daripada 12.3515/3756 semalam. – Bernama

Ringkasan AI

  • Ringgit meningkat berbanding dolar AS pada Rabu didorong sentimen optimis pasaran.
  • Kenyataan Presiden Trump mengenai berundur dari kawasan konflik mendorong pembelian ringgit.
  • Indeks dolar AS jatuh 0.35% membayangkan kelemahan mata wang itu.
  • Pasaran buruh AS menunjukkan kelemahan dengan kurang kekosongan jawatan.
  • Ringgit rendah berbanding mata wang utama lain, tetapi mengukuh berbanding rupiah dan baht.
Scroll to Top