Jarak serangan udara dengan pasukan MALBATT kira-kira 200m

Jarak serangan udara dengan pasukan MALBATT kira-kira 200m

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Serangan udara Israel dilapor berlaku berhampiran kedudukan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 di kawasan operasi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), awal pagi, hari ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, serangan itu berlaku berhampiran Pos Kawalan dengan jarak anggaran antara 100 hingga 200 meter dari penempatan pasukan MALBATT pada 2.35 pagi waktu tempatan.

Menurutnya, serangan berkenaan dipercayai menyasarkan sebuah jambatan yang melintasi Sungai Litani.

“Serangan susulan dilaporkan berlaku pada 3.02 pagi yang menyebabkan kerosakan terhadap beberapa fasiliti serta penginapan anggota di kawasan pos kawalan berkenaan.

“Ketika kejadian, seorang pegawai bersama lapan anggota lain-lain pangkat MALBATT 850-13 yang berada di pos kawalan sudah diarahkan oleh Tactical Operations Centre (TOC) MALBATT untuk berundur sebagai langkah keselamatan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Mohamed Khaled berkata, pasukan berkenaan kemudian bergerak bersama 12 anggota Angkatan Tentera Lubnan (LAF) ke lokasi selamat dan tiba pada 4.12 pagi waktu tempatan.

Katanya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan membabitkan anggota MALBATT mahupun LAF, dan semua persenjataan serta peralatan yang dibawa berada dalam keadaan selamat.

“Pemeriksaan kesihatan dijalankan oleh pegawai perubatan bagi memastikan semua anggota berada dalam keadaan baik dan terus berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi,” katanya.

Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa keselamatan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melaksanakan misi pengaman di luar negara sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

“Kementerian melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau perkembangan situasi di kawasan operasi dengan teliti serta bekerjasama rapat dengan pihak UNIFIL dan rakan-rakan pasukan pengaman lain bagi memastikan keselamatan anggota sentiasa terpelihara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top