Jari Neelofa sudah berinai

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

KUALA LUMPUR – Selebriti popular, Neelofa terus mengundang perhatian ramai apabila jarinya kelihatan sudah merah berinai di sebalik spekulasi tarikh majlis pernikahan pada hujung minggu ini.

Perkara tersebut dapat dilihat secara jelas dalam satu perkongsian InstaStorynya hari ini yang memaparkan Neelofa sedang mempromosi produk jenamanya.

Menerusi paparan video tersebut, inai pada jari tangan kirinya seperti warna sering dipakai oleh bakal raja sehari.

Dalam foto-fotonya sebelum ini, dia hanya dilihat memakai inai pada bahagian kuku sahaja.

Malah, malam tadi beberapa keping gambar rakan-rakan karibnya berada di kediaman bekas pengacara MeleTOP itu tular dengan memakai persalinan sedondon berwarna merah.

Difahamkan berlangsung majlis berinai yang diadakan secara tertutup dengan hanya dihadiri ahli keluarga dan teman rapat.

Sehingga kini, Neelofa, 32, mahu pun Haris, 26 dan ahli keluarga kedua belah pihak masih ‘mengunci mulut’ mengenai majlis yang dinanti ramai itu.

Semalam, media melaporkan Neelofa memuat naik tiga bacaan doa dalam Instagramnya memohon agar segala urusannya dipermudahkan.

Selain itu, foto-foto kolaj di belakang doa tersebut turut memaparkan seorang wanita sedang melakukan fitting pakaian pengantin di sebuah butik.

Foto tersebut menguatkan lagi spekulasi dia bakal menamatkan zaman bujang pada hujung minggu ini.

Sejak awal minggu ini, nama pelakon drama Suri Hati Mr. Pilot itu menjadi topik bualan hangat netizen selepas ramai yang mendakwa dia bakal menamatkan zaman bujang dalam sehari dua ini.

Antara tarikh adalah esok atau Sabtu.

Lebih menguatkan khabar angin apabila foto Haris sedang membelek samping songket di sebuah butik turut tersebar luas dalam media sosial.

Untuk rekod, bekas juara Dewi Remaja 2009/2010 itu bertunang dengan Haris yang merupakan bekas peserta program Pencetus Ummah pada 1 November tahun lalu.

Bagaimanapun, pada akhir tahun lalu, hubungan pasangan tersebut dikatakan bermasalah selepas ahli keluarga Neelofa memuat naik pelbagai hantaran berbaur perli dipercayai ditujukan kepada Haris.

Hujung Januari lalu, Neelofa dalam satu sidang media maya tampil menjelaskan, hubungannya dengan Haris baik-baik sahaja.

Pada masa sama, dia turut mengakui impian perkahwinannya musnah akibat Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang masih diteruskan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette