
Kesemua harimau tersebut tidak bertindak di luar kawalan dengan menyerang penonton walaupun terkejut dengan jeritan mereka. – Foto Agensi
MOSCOW – Pengunjung sebuah pertunjukan sarkas berdepan detik cemas selepas harimau yang membuat persembahan melompat ke arah penonton.
Kejadian itu berlaku selepas jaring keselamatan yang dipasang pada sekeliling pentas Sarkas Dovgaluk di bandar Rostov-on-Don, Rusia itu runtuh secara tiba-tiba pada akhir minggu lalu.
Kekecohan tercetus apabila penonton menjerit ketakutan hingga mengakibatkan salah seekor haiwan karnivor tersebut yang ‘terkejut’ meloloskan diri dari khemah pertunjukan.
Media tempatan mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan walaupun keadaan agak huru-hara kerana penonton panik.
Insiden itu bagaimanapun dijangka meningkatkan lagi tekanan ke atas larangan persembahan haiwan liar di sarkas seluruh negara. – Agensi



