Jaringan Guilherme bawa JDT ke pusingan 16 ACLE

Jaringan Guilherme bawa JDT ke pusingan 16 ACLE

rizar@mediaprima.com.my

Iskandar Puteri: Johor Darul Ta’zim (JDT) melakukan keajaiban apabila mengesahkan slot ke pusingan 16 terbaik selepas menang tipis 1-0 ke atas Vissel Kobe dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Kemenangan berharga skuad kendalian Xisco Munoz memastikan mengutip 11 mata diraih untuk melonjak ke tangga keenam sekali gus menolak FC Seoul di tangga ketujuh yang mengumpul 10 mata dan Gangwon FC di tangga kelapan dengan lapan mata dalam kumpulan Zon Timur.

Sebaik perlawanan bermula, JDT mengundang cemas benteng skuad kendalian Michaei Skibbe seawal minit ketiga selepas Bergson da Silva yang pertama kali diturunkan dalam kesebelasan utama melakukan rembatan deras dari luar kotak namun tangkas ditampan penjaga gol pelawat, Shuici Gonda.

Memasuki minit ke-13 Gonda menjadi penyelamat buat Vissel Kobe daripada dibolosi selepas sempat merebahkan badan untuk menepis keluar bola sepakan Marcos Guilherme hasil kuisan ke belakang oleh Bergson yang memperdaya Boniface Nouka.

Anak buah Skibbe turut berpeluang merobek gawang JDT dalam dua situasi pada minit ke-20 dan disusuli minit ke-22 apabila Jean Patric bertindak merembat bola namun ketangkasan penjaga gol tuan rumah Andoni Zubiaurre menjadi penyelamat buat Harimau Selatan bagi mengelak gawang dibolosi.

Walaupun berjaya memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-38 hasil rembatan kencang Raul Filipe namun gol itu dibatalkan selepas pengadil perlawanan, Ilgiz Tantashev dari Uzbekistan yang mendapat bantuan dari rakan setugas di bilik Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesan kedudukan Hector Hevel yang ofsaid ketika melakukan umpanan.

Bersambung babak kedua, anak buah Munoz menggandakan asakan dalam usaha memburu gol namun Bergson dan Jaoa Figueiredo sering dikecewakan benteng Vissel Kobe yang bingkas bertindak menghalang gerakan berbahaya tuan rumah.

Sekali lagi gol JDT pada minit ke-55 dibatalkan oleh Tantashev selepas pembantu pengadil kedua, Timur Gaynullin mengesan kedudukan Guilherme berada di posisi ofsaid walaupun berjaya menjaringkan gol selepas menerima umpanan Bergson.

Akhirnya JDT berjaya memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-77 selepas pemain gantian Jairo da Silva yang bertindak merampas bola daripada pemain lawan bingkas mengumpan bola kepada Guilherme yang tidak di kawal merembat bola leret menewaskan Gonda menceriakan lebih 30,000 penyokong Harimau Selatan dan kedudukan 1-0 buat hasil jaringan pemain import dari Brazil itu kekal sehingga tamat perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top