LIVERPOOL: Liverpool menampilkan kebangkitan cemerlang apabila menewaskan Galatasaray 4-0 di Anfield, sekali gus mara ke suku akhir Liga Juara-Juara dengan agregat 4-1, semalam.
Walaupun berjaya menumpaskan Liverpool dua kali musim ini, termasuk 1-0 minggu lalu, Galatasaray gagal menandingi Liverpool yang tampil dengan keazaman dan tenaga luar biasa.
Penyerang Liverpool, Hugo Ekitike, memuji prestasi pasukannya yang kembali bangkit selepas kekalahan di Istanbul tempoh hari.
“Kami boleh menang 10-0, terlepas beberapa peluang, tetapi tugas kami malam ini sangat baik. Kami boleh berbangga dan menantikan suku akhir,” katanya.
Gol pembukaan dicatatkan Dominik Szoboszlai pada minit ke-25 hasil bola mati tersusun, manakala penalti Mohamed Salah pada separuh masa pertama berjaya diselamatkan penjaga gol Galatasaray, Ugurcan Cakir.
Namun, separuh masa kedua menyaksikan Liverpool meledak tiga gol tambahan Ekitike, Ryan Gravenberch, dan Salah sekaligus menamatkan perlawanan dengan kemenangan selesa.
Salah, yang menjaringkan gol ke-50 dalam Liga Juara-Juara melalui rembatan cantik dari luar kotak penalti, turut menunjukkan kesungguhan dengan beberapa percubaan lain yang hampir menjaringkan gol tambahan.
Liverpool kini akan berdepan juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG), yang menyingkirkan Chelsea 8-2 secara agregat, pada peringkat suku akhir.
“Apabila saya duduk di bilik persalinan separuh masa pertama, saya tahu kami perlu menang. Kami berasa lebih bebas dan Ryan terus menjaringkan gol,” kata Salah.
Kemenangan ini bukan sahaja memulihkan keyakinan Liverpool selepas prestasi hambar di Liga Perdana, malah menegaskan kemampuan pasukan untuk bersaing di pentas Eropah.-AGENSI




