mhafis@mediprima.com.my
Kuala Lumpur: Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) diaktifkan bagi menyelaras tindakan-tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri.
Menurutnya, mereka juga perlu mengambil langkah-langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.
“JAS melalui PTJK sentiasa memantau kualiti udara dari semasa ke semasa dan tindakan yang akan diambil adalah selaras dengan PTJK yang membabitkan agensi berkaitan.
“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri dan pusat apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam; menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah apabila bacaan IPU melebihi 100; sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Abdul Latiff berkata, bagi tujuan ini, pihak sekolah, tadika dan taska dikehendaki sentiasa memantau bacaan IPU.
“Sekiranya trend bacaan menunjukkan peningkatan ke arah 200, persediaan perlu dilaksanakan untuk menutup sekolah, tadika dan taska yang berkenaan.
“Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilakukan tertakluk kepada kehadiran awan dan cuaca yang sesuai pada bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, JAS bersama kementerian dan setiap agensi yang tebabit dalam pengurusan bencana jerebu akan sentiasa bertindak dengan lebih cepat dan responsif di atas tindakan-tindakan seperti yang disenaraikan di dalam PTJK.
“Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.
“Menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara selama tempoh sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Di samping itu, kompaun sehingga tidak melebihi 50 peratus denda maksimum boleh dikenakan atas setiap kesalahan,” katanya.
Orang ramai diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan JAS di talian bebas tol, 1-800-88-2727.
© New Straits Times Press (M) Bhd