JAS kesan punca pencemaran Sungai Ngulang

KANGAR: Jabatan Alam Sekitar hari ini mengambil sampel air di dua lokasi berdekatan kilang di Bukit Keteri yang dipercayai menjadi punca pencemaran Sungai Ngulang.

Pengarah JAS Perlis, Azman Shah Ismail, berkata dua punca itu dipercayai lokasi bagi pelepasan sisa dari loji pengolahan efluen yang dibuang secara haram ke parit berdekatan.

“Hasil tinjauan dan pemeriksaan awal mendapati air berwarna hitam dan sampel air dihantar ke Jabatan Kimia di Alor Setar, Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.

Pada Ahad lalu, JAS Perlis bertindak kurang dari 24 jam mengambil dua sampel air di Sungai Ngulang, selepas menerima aduan orang ramai mengenai air sungai itu menjadi kehitaman.

Difahamkan pencemaran bermula dari sumber perparitan yang memasuki Sungai Jernih, hingga ke Sungai Panggas, sebelum mencemari Sungai Ngulang.

Azman Shah berkata, petugas JAS akan ke kawasan berdekatan sekali lagi, bagi mengambil sampel tanah di kawasan tanah sawah yang turut dipercayai sebagai lokasi punca pencemaran.

Katanya, notis arahan kepada premis mengikut Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi pematuhan sepenuhnya di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 akan dikeluarkan, selepas mendapat keputusan makmal.

Beliau berkata, operasi bersepadu hari ini disertai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Pejabat Tanah dan Galian Perlis, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pertanian Perlis.

Katanya, JAS menyeru orang awam untuk membantu dengan melaporkan kegiatan mencemarkan alam sekitar. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd