Kuala Lumpur: Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAS WPKL) mengesan sekurang-kurangnya tiga percubaan penipuan menggunakan dokumen pesanan kerajaan palsu yang menyalahgunakan nama, logo dan nama beberapa pegawai jabatan itu.
Pengarah JAS WPKL Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, perkara itu dikesan selepas pihaknya menerima aduan daripada sebuah syarikat pembekal barangan menyelam yang berdaftar sebagai pembekal atau kontraktor dalam sistem perolehan kerajaan pada 3 Ogos lepas.
Beliau berkata, syarikat berkenaan menerima dokumen pesanan kerajaan yang diragui kesahihannya, yang memaparkan logo JAS pada muka depan dengan jumlah keseluruhan pesanan sebanyak RM26,000.
“Dokumen pesanan kerajaan palsu ini didapati menyalahgunakan nama-nama beberapa pegawai JAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sharifah Zakiah berkata, semakan lanjut mendapati pertanyaan berhubung pesanan kerajaan bagi penganjuran program menggunakan peralatan skuba mula diterima pada 12 Ogos lepas dan merujuk kepada pesanan kerajaan palsu melibatkan syarikat lain dengan jumlah keseluruhan melebihi RM100,000.
Beliau berkata, dokumen itu turut didapati mengelirukan kerana menunjukkan jumlah keseluruhan sekitar RM135,000 bagi perkhidmatan yang sama menggunakan nombor dokumen yang sama.
Sehubungan dengan itu, katanya, JAS WPKL telah memaklumkan perkara berkenaan kepada Seksyen Kewangan JAS Ibu Pejabat serta membuat laporan polis hari ini berhubung kes-kes penipuan tersebut.
“JAS WPKL memandang serius aduan yang diterima daripada orang awam serta syarikat terlibat kerana penggunaan nama, logo dan dokumen palsu yang menyerupai dokumen rasmi kerajaan berpotensi menjejaskan imej, kredibiliti dan nama baik JAS serta perkhidmatan awam.
“JAS WPKL menghargai keprihatinan orang awam dan syarikat dalam membuat semakan dan pengesahan terhadap dokumen pesanan kerajaan yang diragui kesahihannya.
“Tindakan tersebut adalah penting bagi membantu mencegah penyalahgunaan nama dan identiti Jabatan serta melindungi kepentingan pembekal dan Kerajaan daripada sebarang bentuk penipuan atau penyamaran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

