Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Tan Sri L Krishnan serta seluruh warga seni dan perfileman tanah air di atas pemergian tokoh dan perintis penting industri filem Melayu itu.
Fahmi berkata, sepanjang lebih enam dekad dalam dunia perfileman, mendiang meninggalkan kesan besar terhadap perkembangan industri kreatif negara.
“Salam takziah kepada keluarga mendiang serta seluruh warga seni dan perfileman tanah air atas pemergian Tan Sri Lakshmanan Krishnan, seorang tokoh dan perintis penting dalam era kegemilangan industri filem Melayu.
“Sepanjang lebih enam dekad dalam dunia perfileman, mendiang telah meninggalkan kesan yang cukup besar kepada industri kreatif negara.
“Mendiang mengarahkan lebih 30 filem, membantu menggilap bakat ramai seniman termasuk Allahyarham Tan Sri P Ramlee, serta memainkan peranan dalam meletakkan asas kepada perkembangan industri filem moden Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Fahmi, sumbangan besar mendiang turut mendapat pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Merdeka 2016 dan Anugerah Tokoh Perfileman Malaysia.
“Namun, lebih daripada anugerah, karya dan generasi seniman yang lahir daripada zaman yang beliau bantu bina menjadi sebahagian daripada warisan budaya negara.
“Jasa dan legasi Tan Sri L Krishnan akan terus dikenang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




