'Jasa Mu Dikenang' simbolik penghormatan wira negara

'Jasa Mu Dikenang' simbolik penghormatan wira negara

Kuala Lumpur: Detik cemas berdepan ancaman pengganas komunis serta rentetan kisah pengorbanan menyayat hati anggota keselamatan sewaktu era darurat kini diabadikan dalam sebuah naskhah khas berjudul ‘Jasa Mu Dikenang’.

Menurut Pemangku Yang Dipertua Persatuan Bekas Pasukan Keselamatan Negara Malaysia (PBPKNM), Ahmad Zaki Ibrahim, penerbitan buku berkenaan adalah satu usaha murni untuk mendokumentasikan sejarah ringkas perjuangan pasukan keselamatan agar ia tidak luput ditelan zaman.

“Ia dihasilkan bagi memastikan kisah-kisah perjuangan ketika era darurat, termasuk operasi berisiko tinggi di kawasan panas seperti Ulu Kinta, Grik dan beberapa lokasi pedalaman lain, dapat ditatapi oleh generasi masa kini serta akan datang,” katanya pada majlis pelancaran baru-baru ini.

Majlis disempurnakan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Turut berangkat menyerikan majlis ialah Penasihat Diraja PBPKNM, YAM Tengku Puteri Rosmawini Tengku Datuk Muiz Shah.

Buku setebal 128 muka surat itu adalah simbolik penghormatan tertinggi kepada wira-wira tidak didendang, khususnya anggota Special Constable (SC) yang menjadi benteng barisan hadapan negara suatu ketika dahulu.

Naskhah ini menghimpunkan pelbagai catatan pengalaman sebenar termasuk strategi pertempuran di dalam hutan tebal, detik cemas berdepan serangan hendap, serta tragedi memilukan melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa akibat jerangkap samar yang dipasang musuh.

Kata Ahmad Zaki lagi, buku berkenaan turut merangkumi sejarah penubuhan PBPKNM pada tahun 1995 yang berperanan kritikal dalam menjaga kebajikan bekas anggota keselamatan serta waris mereka.

Beliau turut mendedahkan bahawa pihak persatuan mempunyai perancangan untuk menerbitkan lebih banyak siri buku yang memfokuskan kepada kisah individu anggota secara terperinci dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Sebagai permulaan sebanyak 120 naskhah telah dicetak. Buat masa ini, buku ini tidak dijual kepada umum memandangkan kos penerbitannya yang agak tinggi.

“Sebaliknya, ia diberikan sebagai naskhah cenderamata kepada bekas anggota keselamatan dan rakan penaja program,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top