Jasa, pengorbanan pahlawan negara terus dikenang

Jasa, pengorbanan pahlawan negara terus dikenang

Kuala Lumpur: Jasa dan pengorbanan pahlawan serta perwira negara akan terus dikenang dalam lipatan sejarah Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menyifatkan pengorbanan mereka ialah momen penting dalam memastikan keamanan, keselamatan dan keharmonian negara terus kukuh serta dipertahankan.

“Semoga Allah menempatkan para pahlawan dan perajurit yang telah berkorban darah dan nyawa, demi keamanan tanah air, dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Terdahulu, Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengiringi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke majlis bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat di Masjid Negara bersama-sama anggota pasukan keselamatan dan orang ramai bersempena dengan sambutan Hari Pahlawan tahun ini.

Esok, sambutan Hari Pahlawan 2025 akan diadakan di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya.

Sambutan Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun sebagai memperingati perjuangan serta pengorbanan anggota keselamatan negara demi kemakmuran serta kedaulatan negara dan dianjurkan secara bergilir-gilir antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 1968.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top