am@hmetro.com.my
Bera: Wanita yang hilang dihanyutkan arus selepas kereta dinaikinya terjunam ke dalam Sungai Triang berhampiran Pasar Ayam Kerayong, di sini ditemukan lemas, pagi ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, mayat Sakirah Akop, 31 ditemukan seorang pemancing kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi kejadian pada jam 8.40 pagi.
“Pemancing terbabit menghubungi bomba dan kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kelmarin, kereta Perodua Bezza yang dinaiki Sakirah bersama anak perempuannya berusia setahun empat bulan dikatakan tiba-tiba bergerak sendiri sebelum terjunam ke dalam sungai.
Suami mangsa yang berada tidak jauh dari tempat kejadian hanya mampu melihat isterinya menyerahkan bayi itu keluar dari tingkap sebelum tenggelam bersama kenderaan.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sejak kejadian itu membabitkan anggota bomba, polis, penduduk kampung dan agensi lain
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Bera untuk bedah siasat.
© New Straits Times Press (M) Bhd