Melbourne: Pemain pilihan ketujuh, Jasmine Paolini, memulakan kempen Terbuka Australia dengan bergaya apabila mara ke pusingan kedua selepas kemenangan straight set ke atas pemain kelayakan dari Belarus, Aliaksandra Sasnovich.
Jasmine hanya memerlukan 69 minit untuk menundukkan Aliaksandra 6-1, 6-2 di Rod Laver Arena dalam cuaca panas dan cerah di Melbourne.
Pemain Itali berusia 30 tahun itu akan bertemu pemenang antara wakil Poland, Magdalena Frech, atau pemain Slovenia, Veronika Erjavec, pada pusingan seterusnya.
“Ia keputusan yang agak baik hari ini, saya sendiri tidak menjangkakannya.
“Pusingan pertama sentiasa sukar. Saya bermain dengan baik, konsisten dan fokus, jadi saya gembira.
“Sebelum perlawanan saya sedikit gementar, sejujurnya, tetapi sebaik melangkah ke gelanggang, saya rasa selesa sejak bola pertama,” kata Jasmine.
Jasmine mematahkan servis lawannya seawal permainan pertama sebelum mendahului 3-0 dalam tempoh 10 minit.
Dia menamatkan set pertama dalam masa hanya 26 minit dan walaupun Aliaksandra memberi sedikit tentangan pada set kedua, Jasmine kekal menguasai permainan untuk mencatat kemenangan selesa.
Jasmine sebelum ini mara ke final Wimbledon dan Terbuka Perancis pada 2024, namun pencapaian terbaiknya di Melbourne Park setakat ini ialah pusingan keempat pada tahun yang sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




