am@hmetro.com.my
Putrajaya: Pekerjaan dilakukan lelaki ini mungkin nampak mudah. Masuk ke hutan, memanjat pokok dan mengambil madu Tualang.
Namun di sebalik manisnya setitis madu asli tualang ini, Zuki Jusoh, 55, perlu menempuhi getir selain mempertaruhkan nyawa bagi membesarkan anak-anak.
Bapa kepada enam anak berusia 11 hingga 26 tahun berasal dari Puchong, Selangor, ini menjadikan ‘kerjaya’ mencari madu hutan sebagai sumber rezeki utama sejak lima tahun lalu.
Dia yang pernah bekerja sebagai pelukis pelan di sebuah syarikat swasta, meminati dunia madu selain pernah memasuki hutan di Riau, Indonesia bagi menuntut ilmu berkaitan madu.
“Saya mengusahakan jualan madu tempatan secara kecil-kecilan sejak lebih 10 tahun lalu bersama adik di kampung.
“Biasanya saya perlu menaiki bot merentas sungai sebelum berjalan kaki tiga hingga empat jam untuk sampai ke lokasi di dalam hutan duri nibong,” katanya.
Menurutnya, dia perlu memberanikan diri memanjat pokok Tualang setinggi hampir 100 meter bagi mendapatkan sarang lebah.
“Untuk sampai ke bahagian atas pokok, saya perlu mengetuk paku sepanjang 0.2 meter pada batang pokok sebagai pemijak.
“Saya kerap berdepan detik cemas apabila diterpa angin kencang ketika sedang berada di atas pokok.
“Malah saya pernah disengat lebih 20 ekor lebah di bahagian tangan kanan selepas sarung tangan tercabut,” katanya.
Katanya, tugas memanjat dilakukannya sendiri kerana dia mahu memastikan madu yang diambil benar-benar matang.
“Terdapat seramai 15 pekerja lain bertanggungjawab menapis serta mengangkut madu yang diturunkan ke bawah.
“Kami tidak boleh berkhemah di dalam hutan kerana bimbang ancaman haiwan buas. Jadi kami perlu keluar dan bermalam di dalam bot supaya lebih selamat,” katanya.
Berkongsi pengalaman, Zuki berkata, proses mendapatkan madu juga dilakukan dengan penuh berhati-hati dengan tidak menggunakan asap atau bahan lain.
“Saya akan mengusap sarang lebah supaya serangga itu terbang meninggalkan sarang. Kaedah ini bagi memastikan kualiti madu kekal asli dan tidak rosak,” katanya.
Menurutnya, setiap kali mahu memotong ‘kepala air’ (sarang lebah), dia perlu pastikan ia matang.
“Tidak ada pantang larang khusus yang perlu diikuti. Cuma, sebelum memanjat pokok saya sering memulakan doa agar diberi keselamatan,” katanya.
Namun berbekalkan pengalaman dan tali keselamatan dipasang pada dahan pokok, masalah itu dapat diatasi dengan selamat.
Baginya, setiap setitis madu lebah hutan bukan sahaja rezeki buat keluarga, tetapi juga sumber kesihatan buat mereka yang menghargai keaslian alam.
Katanya, permintaan madu lebah asli tualang sangat tinggi ketika ini kerana ia berkhasiat dan boleh digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit.
“Harga untuk satu kilogram madu lebah asli itu mencecah RM60 malah ada ketika permintaan melebihi penawaran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




