Seoul: Son Heung-Min tidak dapat menahan air mata selepas apa yang dijangka menjadi penampilan terakhirnya bersama Tottenham Hotspur, sekali gus menamatkan tempoh sedekad bersama kelab itu.
Pemain berusia 33 tahun itu mengumumkan pengundurannya dalam satu sidang media penuh emosi sehari sebelum Spurs turun menentang Newcastle United di Seoul, Korea Selatan, hari ini.
Lebih manis, perlawanan itu berlangsung di depan penyokong setia di tanah airnya, menjadikan detik perpisahan itu begitu bermakna.
Kapten Spurs itu menerima penghormatan istimewa apabila diberikan ‘guard of honour’ oleh rakan sepasukan dan pemain Newcastle sebaik digantikan pada minit ke-64.
Stadium Piala Dunia Seoul gamat dengan sorakan penyokong ketika Son memeluk setiap anggota bangku simpanan Spurs dan tidak dapat menahan tangisan sewaktu menyedari sepenuhnya makna perpisahan itu.
Akaun rasmi kelab di media sosial turut menulis: “Cheers Son’s crying, nice one.”
Son dilihat bergenang air mata sebaik nombor tujuh dipaparkan di papan pertukaran pemain, memberi laluan kepada pemain baharu, Mohammed Kudus.
Legenda kelab itu dipeluk erat oleh pemain tengah Spurs, James Maddison, dan pemain sayap North London, Brennan Johnson.
Penjaga gol Liga Perdana, Antonin Kinsky, turut berlari ke arah Son untuk menyertai penghormatan itu, diikuti tepukan mesra daripada kedua-dua pasukan.
Pemain Newcastle, Joelinton dan Bruno Guimaraes, turut memeluk bintang Tottenham itu dalam suasana penuh sentimental.
Ironinya, Guimaraes sebelum itu hampir dilayangkan kad merah selepas insiden mencengkam leher Cristian Romero pada babak pertama.
Namun suasana hiba bertukar cemas apabila Maddison mengalami kecederaan mengejut 19 minit kemudian susulan pertembungan biasa dengan Anthony Elanga, sekali gus memaksa pemain England itu diusung keluar pada minit ke-85.
Son antara yang kelihatan paling bimbang di tepi padang melihat keadaan Maddison.
Bintang Korea Selatan itu dikaitkan dengan perpindahan ke Major League Soccer (MLS), di mana LAFC dilaporkan mahu menjadikannya pemain marquee baharu mereka.
Pelakon terkenal Korea, Park Seo-Joon, yang juga rakan rapat Son dan membintangi filem pemenang Oscar Parasite, tampil memberikan penghargaan khas dari tengah padang sebelum sepak mula – menyatakan bahawa rakyat Korea tidak dapat tidur selepas mendengar berita perpisahan idolanya itu.
Antara lautan 66,000 penonton, terpampang sepanduk bertulis “Sonny the Spurs legend”, manakala Son sendiri kelihatan sebak di bangku simpanan, seolah-olah sedang menghayati makna sebenar perpisahannya daripada kelab yang dicintai.
© New Straits Times Press (M) Bhd