Jawatan berisiko tinggi dihadkan 18 bulan, penggiliran lebih tegas – PAT

Jawatan berisiko tinggi dihadkan 18 bulan, penggiliran lebih tegas – PAT

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penggiliran jawatan selama 18 bulan akan dilaksanakan dengan tegas membabitkan kedudukan berisiko tinggi di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, langkah itu diambil sebagai langkah pencegahan tambahan bagi mengekang ketirisan.

“Pengukuhan mekanisme semak dan imbang dalam proses perolehan serta sebut harga juga hendaklah dilaksanakan selaras dengan Arahan Pegawai Pengawal Bilangan 1 Tahun 2026, bagi membendung ketirisan serta mencegah sebarang salah laku.

“Audit Pengurusan Standard ATM perlu dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan, dengan audit khas dijalankan apabila terdapat petunjuk risiko.

“Setiap kelemahan yang dikenal pasti hendaklah disusuli tindakan pembetulan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya ketika menyampaikan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera Ke-24 di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Menurutnya, hanya individu yang tepat akan dilantik kepada jawatan yang sesuai dan menegaskan setiap kelemahan sudah dikenal pasti mesti disusuli tindakan pembetulan dalam tempoh sewajarnya.

Katanya, Bahagian Inspektorat Jeneral ATM dan Inspektorat Perkhidmatan akan dikukuhkan melalui penyusunan semula struktur, peningkatan keupayaan serta penempatan pegawai yang bersesuaian.

“Dalam aspek ketelusan kewangan pula, kewajipan pengisytiharan harta hendaklah dipatuhi sepenuhnya dan dilaksanakan oleh semua yang memegang tanggung jawab pemerintahan dan pengurusan kewangan.

“Langkah ini bertujuan mengurangkan konflik kepentingan serta peluang penyalahgunaan kuasa, dan pengurusan aduan hendaklah dikendalikan secara profesional dan beretika.

“Setiap aduan mesti direkod, disiasat dan dilaporkan hasilnya,” katanya.

Katanya, pemberi maklum perlu dijaga dan sebagai pemimpin beliau bertanggung jawab melindungi serta memberi layanan adil kepada semua pemberi maklumat melalui saluran yang sah.

Menurutnya, langkah itu perlu diambil bagi memastikan ATM kekal utuh dari aspek tata kelola dan integriti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top