firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jawatan pengendali skuad Harimau Malaya ibarat ‘pisang goreng panas’ apabila menjadi rebutan ramai jurulatih luar dan tempatan untuk mengisi posisi itu.
Perkara itu disahkan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang akui badan induk itu menerima banyak permohonan.
Bagaimanapun, beliau tegaskan FAM akan meneliti sebaik mungkin agar calon yang terpilih itu adalah terbaik dan paling penting memahami ruang lingkup dan budaya bola sepak di Malaysia.
“Calon (jurulatih) banyak kerana memang banyak orang yang minat untuk jadi jurulatih Malaysia selepas mereka tengok Malaysia sudah mampu untuk bersaing di peringkat tinggi.
“Tetapi pada akhirnya, kita akan pilih yang sesuai dengan kita, contohnya yang memahami budaya kita seperti yang kita dapat sebelum ini. Kalau kita ambil nama besar tetapi tidak faham apa yang kita perlukan, itu akan timbulkan masalah nanti.
“Kita kena lihat kalau jurulatih itu cukup kuat untuk membawa pasukan dan perkara ini kita akan kaji nanti. Untuk Pau Marti (Vicente), kita beri pendekatan untuk dia supaya buat yang terbaik untuk skuad kebangsaan dan selepas itu, kita akan putuskan selepas Piala AFF.
“Mungkin Pau Marti dapat berikan hasil yang terbaik buat skuad negara, jadi mana tahu dia mungkin boleh jadi satu calon yang boleh kita pertimbangkan untuk meneruskan khidmat dalam skuad kebangsaan,” katanya.
Ketika ini, skuad negara dikendalikan Vicente yang mengambil alih tanggungjawab itu daripada Kim Pan-gon yang meletakkan jawatan pada Julai lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




