Jawatan pengerusi PN mesti disandang presiden parti – ARMADA BERSATU

Jawatan pengerusi PN mesti disandang presiden parti – ARMADA BERSATU

Kuala Lumpur: ARMADA BERSATU membuat ketetapan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mesti disandang oleh mana-mana presiden parti gabungan itu, yang mempunyai kuasa dan autoriti mewakili parti masing-masing.

Penolong Setiausaha ARMADA BERSATU, Mohd Fahim Mohd Farid, berkata perkara itu diputuskan Biro Politik ARMADA yang bersidang hari ini.

Mohd Fahim berkata, perkara itu penting bagi memastikan keabsahan dan kelancaran pentadbiran PN.

“Biro Politik ARMADA juga mengambil ketetapan bahawa isu kepengerusian PN sebagai sebuah gabungan politik mesti diselesaikan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan secara kolektif oleh kepemimpinan parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hari ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menggesa PN mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT), antara lain bagi menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Katanya, gesaan itu dibuat demi kelangsungan gabungan itu, selain melantik pengerusi baharu.

Sebelum ini, Abdul Hadi mengesahkan parti itu akan menerajui PN, namun memberi bayangan beliau tidak akan memegang jawatan Pengerusi.

Beberapa nama turut disebut-sebut bakal mengisi jawatan itu, antaranya Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga Menteri Besar Terengganu dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang juga Menteri Besar Kedah.

Ketika ini, PN mempunyai empat parti komponen, iaitu PAS, BERSATU, GERAKAN dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Sementara itu, Mohd Fahim, berkata sayap pemuda BERSATU itu turut menjunjung titah pedoman Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk PN meneruskan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri itu yang mengutamakan kepentingan rakyat, pembangunan dan kesejahteraan negeri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top