Jawatankuasa integriti ditubuh tangani isu jual slot janji temu

Jawatankuasa integriti ditubuh tangani isu jual slot janji temu

suzalina@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) menubuhkan sebuah Jawatankuasa Integriti dan Siasatan bagi menangani isu penjualan slot janji temu vaksinasi yang dilaporkan sebelum ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata jawatankuasa itu turut dianggotai wakil daripada CITF, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Beberapa tindakan sudah dan akan terus diambil CITF untuk membendung isu penjualan slot janji temu vaksinasi ini daripada terus berlaku termasuk bekerjasama dengan PDRM bagi menyiasat isu ini seawal Jun lalu.

“Sebarang perkembangan terbaharu akan dimaklumkan kepada orang awam oleh pihak PDRM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, terdapat dakwaan sesetengah sukarelawan di pusat vaksinasi di Sabah didakwa menjual slot janji temu kepada individu yang mahu memotong barisan untuk divaksinasi.

Pada masa sama, Khairy berkata, Garis Panduan Pemantauan Vaksin dan Penyediaan ‘senarai menunggu’ sudah dikuatkuasakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk memastikan tiada penyalahgunaan kuasa dalam pemberian vaksin.

“Selain memperkemaskan pemantauan di PPV melalui garis panduan ini, keupayaan sistem di PPV akan terus dipertingkatkan melalui pengenalan dua faktor pengesahan bagi setiap penetapan janji temu dan penambahan bilangan penerima vaksin,” katanya.

Sementara itu, mengenai laporan kehadiran individu positif COVID-19 di PPV, Khairy berkata, langkah segera diambil oleh pusat iaitu menjalankan aktiviti sanitasi, pengasingan kontak rapat dengan pesakit dan melaksanakan ujian COVID-19 ke atas petugas.

Katanya, beliau juga mengarahkan setiap PPV untuk membuat pemeriksaan yang lebih teliti di setiap pintu masuk PPV supaya tiada individu berstatus risiko tertentu dibenarkan masuk.

“Saya juga ingin mengingatkan orang ramai yang melakukan ujian COVID-19 untuk bertanggungjawab dan tidak hadir di PPV sama ada untuk memenuhi janji temu vaksinasi atau sebagai pengiring selagi mereka tidak mendapat keputusan ujian masing-masing.

Sementara itu, Khairy berkata siasatan awal mengenai dakwaan suntikan vaksin yang melepasi tarikh luput mendapati perkara itu tidak benar.

Katanya, tarikh luput vaksin dos kedua yang diberi dan tertera di MySejahtera individu terbabit sebenarnya adalah tarikh luput vaksin yang diberikan untuk dos pertama.

“Fakta ini disokong oleh beberapa dokumen yang sudah diperiksa. Kesilapan merekodkan data menyebabkan perkara ini berlaku dan tarikh luput vaksin yang sebenar akan dikemas kini ke dalam MySejahtera bagi individu terbabit,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top