am@hmetro.com.my
Hatyai,Thailand: Bagi menarik pelancong dari selatan Thailand sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025, jawatankuasa khas bersama tiga wilayah dari selatan negara itu akan ditubuhkan dalam masa terdekat.
Pembentukan jawatankuasa khas itu membabitkan Wilayah Yala, Songkhla dan Satun.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, pembentukan jawatankuasa itu dijangka dapat memudahkan lagi hubungan antara Perlis bersama tiga wilayah Selatan Thailand itu khususnya dalam merancakkan lagi penganjuran TMPs 2024-2025.
“Jawatankuasa khas ini akan ditubuhkan dalam sedikit masa lagi dan kita mulakan usaha ini untuk sektor pelancongan terlebih dahulu.
“Selepas ini ia mungkin boleh diperluaskan dalam bidang pendidikan, ekonomi dan pelbagai lagi,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Mesyuarat Perbincangan Agenda Pelancongan dan Kerjasama Perlis Bersama Selatan Thailand di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Katanya, dalam memperkasakan pelancongan Perlis di peringkat antarabangsa, terdapat beberapa isu dibangkitkan oleh pemain industri pelancongan terutama dari selatan Thailand antaranya seperti larangan penjualan diesel kepada pelancong dari negara itu di stesen minyak di Perlis yang dialami baru-baru ini.
“Maklumat mengenai perkara ini baru sahaja saya terima dan kita perlu selesaikan untuk memastikan kehadiran pelancong ke Perlis tidak terjejas.
“Dari segi pembelian petrol, pihak terbabit sememangnya tidak mempunyai masalah namun kekangan yang berlaku adalah membabitkan pembelian diesel bagi van pelancong dan seumpamanya,” katanya.
Beliau berkata, pemain industri pelancongan di Perlis juga boleh mencontohi peniaga Thailand dalam aspek kebersihan premis makanan mereka bagi menarik kehadiran pelancong.
“Perlis berpotensi besar dalam sektor pelancongan berikutan mempunyai tarikan tersendiri seperti keindahan alam semulajadi, keunikan makanan dan pelbagai lagi
“Malah aktiviti seperti ‘motorcross’ juga berpotensi untuk dikembangkan di Perlis berikutan mendapat permintaan tinggi daripada penggemar sukan lasak itu khususnya dari Thailand,” katanya.
Terdahulu, mesyuarat berkenaan yang turut membabitkan pemain industri pelancongan dari wilayah Selatan Thailand membincangkan pelbagai perkara membabitkan pelancongan di kedua-dua negara terutama permasalahan membabitkan kemasukan pelancong dari Thailand ke Perlis.
Hadir sama dalam mesyarat berkenaan adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad dan Pengerusi Jawatankuasa Kerjasama Sempadan, Izizam Ibrahim.
© New Straits Times Press (M) Bhd




