redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memandang serius situasi yang berlaku di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini susulan isu yang tular di media sosial.
Menerusi satu kenyataan media, JAWI memaklumkan sentiasa memantau operasi masjid dan surau di sini, Putrajaya dan Labuan sepanjang Ramadan tahun ini agar berjalan lancar dan dapat memberi manfaat kepada umat Islam.
“Bagaimanapun, memandangkan waktu berbuka pada ketika ini agak lewat, maka jemaah biasanya hanya akan mula memenuhi masjid pada jam 7 malam.
“Situasi ini bukan sahaja di Masjid At-Taqwa malah hampir kesemua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan,” katanya.
Menurutnya, semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan mengadakan inisiatif untuk menyediakan hidangan berbuka puasa sepanjang Ramadan.
Katanya, JAWI turut menyediakan inisiatif berbuka menerusi Program Iftar Rahmah MADANI (IRM) di 70 buah masjid dan surau terpilih di sini, Putrajaya dan Labuan.
“Pelaksanaan program itu menyasarkan 300 penerima setiap hari bagi setiap masjid dan surau, menjadikan 21,000 pek makanan percuma setiap hari dan sebanyak 630,000 pek makanan diagihkan sepanjang bulan Ramadan.
“Sasaran penerima adalah dalam kalangan asnaf, golongan B40 dan individu yang memerlukan di sekitar Wilayah Persekutuan,” katanya.
Katanya, JAWI sebagai agensi yang bertanggungjawab mengurus dan menyelaraskan hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan sentiasa komited dalam memperkasakan agenda kebajikan umat Islam.
Justeru, terdapat 12 masjid di bawah JAWI yang menyediakan inisiatif perkhidmatan jagaan kanak-kanak atau ruang bermain ketika solat tarawih.
“Ia (inisiatif perkhidmatan penjagaan kanak-kanak) bertujuan memberi peluang kepada ibu bapa menunaikan solat ketika berjemaah di masjid tanpa rasa bimbang terhadap keselamatan anak-anak dan gangguan kepada jemaah yang lain,” katanya.
Terdahulu, tular di laman sosial hantaran seorang pengguna di Threads yang mengajak lebih ramai untuk datang membawa keluarga dan rakan ke Masjid At-Taqwa TTDI kerana masih lengang walaupun hampir masuk waktu berbuka puasa.
Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi negatif dengan segelintir warganet berkongsi layanan buruk diterima daripada kariah dan jemaah terutama dalam kalangan yang berusia.
Di ruangan komen, ada juga warganet yang mendakwa masjid berkenaan tidak mesra kanak-kanak berdasarkan pengalaman dilalui ketika membawa anak mereka berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih di situ.
Pihak pengurusan Masjid At-Taqwa bagaimanapun menafikan dakwaan diboikot susulan isu tular kerana masih menerima kehadiran jemaah dalam jumlah yang ramai.
Bagaimanapun, pihak pengurusan masjid itu memohon maaf atas apa yang berlaku dan sedang mengenal pasti juga menyiasat dakwaan layanan buruk terhadap jemaah seperti yang dibangkitkan warganet di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd




