JAWI tidak guna van jenazah angkut umat Islam didapati tidak berpuasa

JAWI tidak guna van jenazah angkut umat Islam didapati tidak berpuasa

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) tidak melaksanakan tindakan ‘mengangkut’ umat Islam yang tidak berpuasa dengan makan dan minum di tempat awam menggunakan van jenazah.

Pengarah JAWI Hanifuddin Roslan bagaimanapun berkata, individu yang sengaja melakukan kesalahan tidak menghormati bulan Ramadan dengan makan dan minum secara terbuka di khalayak awam akan diambil tindakan sewajarnya berdasarkan undang-undang kesalahan syariah sedia ada.

“Kesalahan tidak menghormati Ramadan diperuntukkan di bawah Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559].

“Mereka yang didapati melakukan kesalahan akan diberikan surat perintah hadir (SPH) ke Bahagian Penguatkuasaan JAWI bagi melengkapkan siasatan sebelum kes tersebut dipanjangkan ke Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JAPENS) untuk pendakwaan di Mahkamah Syariah.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Hanifuddin berkata, selain aspek hukuman, Bahagian Penguatkuasaan JAWI juga menjalankan aktiviti penerangan dan kempen pencegahan bagi mendidik umat Islam menjadi hamba Allah yang bersifat amanah dan patuh pada segala titah perintahnya.

“Peniaga makanan beragama Islam yang bersubahat menjual makanan kepada orang Islam yang tidak berpuasa, mereka boleh dikenakan tindakan sama di bawah Seksyen 15 [Akta 559], tidak menghormati Ramadan dan Seksyen 43 [Akta 559] di bawah kesalahan penyubahatan dan jika disabitkan kesalahan, mereka juga boleh dikenakan hukuman sama seperti orang yang tidak berpuasa iaitu denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau dalam masa sama berkata, JAWI mengenal pasti beberapa lokasi biasa yang menjadi ‘tempat panas’ bagi umat Islam tidak berpuasa.

“Namun pegawai penguat kuasa agama akan memantau semua tempat terutamanya di tempat yang ada dinyatakan aduan mengenainya. JAWI sentiasa bekerjasama dengan masyarakat awam untuk menyalurkan maklumat jika ada tempat awam dijadikan tempat tidak berpuasa,” katanya.

Beliau juga memaklumkan pihaknya tidak mempunyai kuasa bagi menetapkan waktu operasi kedai atau restoran semasa bulan Ramadan.

Katanya, kuasa waktu operasi itu ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bagaimanapun katanya, JAWI akan bekerjasama dengan DBKL untuk memantau umat Islam agar tidak sewenang-wenangnya tidak menghormati bulan Ramadan dengan tidak berpuasa atau makan di tempat awam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top