Jaya Grocer penyewa utama baharu The Mines, perkukuh destinasi gaya hidup

Jaya Grocer penyewa utama baharu The Mines, perkukuh destinasi gaya hidup

SERDANG – Pusat beli-belah The Mines Shopping Mall mengumumkan kemasukan rangkaian pasar raya mass-premium terkemuka, Jaya Grocer sebagai penyewa utama baharu di premis berkenaan.

Pengarah Urusan Runcit CapitaLand Investment (Malaysia), Selina Ng berkata, Jaya Grocer merupakan jenama pilihan isi rumah dan pihaknya teruja membawa cawangan pertama rangkaian itu di Seri Kembangan kepada komuniti setempat.

Menurutnya, komitmen Jaya Grocer terhadap kualiti dan kemudahan selari dengan visi pihak pengurusan untuk menjadikan The Mines sebagai destinasi di mana keluarga boleh membeli-belah, menjamu selera serta menikmati pengalaman bersama.

“Penandatanganan penyewa utama ini merupakan satu pencapaian penting dalam pelan peremajaan kami, ketika kami terus mempertingkatkan The Mines menjadi destinasi gaya hidup moden, dinamik dan berteraskan komuniti.

“Ini merupakan cawangan Jaya Grocer pertama dalam portfolio CapitaLand di Malaysia, sekaligus menandakan satu pencapaian penting dalam strategi transformasi The Mines untuk meningkatkan kepelbagaian peruncitan dan mengukuhkan semula kedudukannya sebagai destinasi gaya hidup utama di Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung di Mines Cruise yang menawarkan suasana unik di sepanjang terusan dalaman berkonsepkan Venesia sepanjang 85 meter, iaitu ciri ikonik yang menjadi nadi kepada pusat beli-belah tersebut.

Selina berkata, cawangan baharu Jaya Grocer di The Mines dengan keluasan melebihi 29,000 kaki persegi akan menawarkan barangan runcit berkualiti tinggi, hasil segar serta pilihan jenama tempatan dan antarabangsa.

Menurutnya, pasar raya itu direka untuk memberikan kemudahan lebih besar kepada komuniti sekitar selain menjadi destinasi pilihan keluarga dan penggemar kulinari yang mahukan pengalaman membeli-belah pasar raya yang lebih premium.

Dalam pada itu, beliau berkata, kehadiran Jaya Grocer sebagai penyewa utama akan terus memperkukuhkan tawaran peruncitan teras The Mines serta membantu meningkatkan aliran pengunjung ke pusat beli-belah berkenaan.

“Penambahan ini adalah sebahagian daripada pelan peremajaan menyeluruh The Mines bagi tahun 2026 yang memberi tumpuan kepada pengukuhan kategori runcit utama, peluasan tawaran gaya hidup dan peningkatan keseluruhan pengalaman pengunjung.

“Antara penawaran terkini yang menarik termasuk Game On Theme Park, yang meliputi lebih 70,000 kaki persegi dan menampilkan lebih 30 tarikan, termasuk cabaran menegak Ninja Challenge setinggi 16 meter,” tambahnya.

Pusat beli-belah The Mines Shopping Mall mengumumkan kemasukan rangkaian pasar raya mass-premium terkemuka, Jaya Grocer sebagai penyewa utama baharu di premis berkenaan.

Pusat beli-belah The Mines Shopping Mall mengumumkan kemasukan rangkaian pasar raya mass-premium terkemuka, Jaya Grocer sebagai penyewa utama baharu di premis berkenaan.

Katanya, tarikan berasaskan aktiviti lain termasuk Kin+Zo Land, sebuah pusat hiburan keluarga bertemakan ladang seluas 25,000 kaki persegi, yang melengkapi pengendali rekreasi sedia ada seperti TGV Cinemas, Fun Factory dan Fun Scape by Cobay.

Ujarnya, segmen gaya hidup The Mines turut berkembang dengan jenama seperti Q Pocket dan Oxygym Fitness. Peruncit barangan sukan termasuk Sport Planet dan Gatti Sport pula memperluaskan lagi tarikan runcit pusat beli-belah ini.

“Portfolio makanan dan minuman (F&B) The Mines juga terus berkembang dengan kemasukan jenama baharu seperti Chagee, Auntea Jenny, Luckin Coffee dan Wallace, melengkapkan restoran popular sedia ada seperti Nando’s, The Chicken Rice Shop, Esquire Kitchen dan Dubuyo.

“Melangkah ke hadapan, The Mines akan memulakan inisiatif penambahbaikan aset berskala besar (Asset Enhancement Initiative, AEI) pada separuh kedua tahun 2026.

“Inisiatif ini akan menumpukan kepada pemodenan kemudahan, pengoptimuman campuran penyewa serta peningkatan persekitaran membeli-belah secara menyeluruh, sekali gus menegaskan komitmen pengurusan untuk memastikan The Mines kekal berdaya saing, relevan dan bersedia untuk pertumbuhan mampan,” katanya.

 

 

 

Scroll to Top