sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) mengumumkan pelantikan pelumba profesional negara, Jazeman Jaafar sebagai Bendahari MAM yang baharu berkuat kuasa serta-merta bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Razlan Razali.
Pelantikan itu adalah langkah strategik dalam memperkukuh struktur kepimpinan organisasi dengan menggabungkan kepakaran profesional serta pengalaman luas dalam industri sukan permotoran.
“Jazeman Jaafar antara pelumba kereta profesional Malaysia yang mencipta nama di peringkat antarabangsa, khususnya dalam perlumbaan ketahanan (endurance).
“Sepanjang kerjayanya, beliau sudah mencatat pelbagai pencapaian membanggakan termasuk meraih podium Formula Renault 3.5 di Monaco pada 2015.
“Selain itu naib juara British Formula 3 International Series serta mencatat kemenangan dalam FIA World Endurance Championship (WEC) bersama pasukan Jackie Chan DC Racing,” kata kenyataan rasmi MAM.
Tambah MAM, Jazeman pernah berkhidmat sebagai Pelumba Pembangunan bagi pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula One Team selama empat tahun, sekali gus memperkukuh kredibiliti dan keupayaannya di peringkat tertinggi sukan permotoran dunia.
Justeru, MAM berharap dengan pengalaman luas serta pendedahan di arena antarabangsa, Jazeman diyakini mampu menyumbang secara signifikan dalam memperkukuh pengurusan kewangan MAM, di samping memperkasa hala tuju strategik organisasi ke arah yang lebih progresif dan mampan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




