Washington: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) JD Vance akan mengetuai delegasi dalam rundingan dengan Iran di Pakistan bermula pada Sabtu, menurut Setiausaha Akhbar Rumah Putih Karoline Leavitt.
Dalam taklimat untuk wartawan, Leavitt berkata, gencatan senjata antara AS dan Iran telah mewujudkan “pembukaan” yang boleh menjadi permulaan keamanan yang berkekalan di rantau ini.
Namun butiran mengenai pelbagai cadangan keamanan yang akan dibincangkan masih samar-samar, begitu juga keadaan semasa trafik perkapalan melalui Selat Hormuz yang penting secara strategik.
Terdahulu, pasukan Iran memberi amaran kepada kapal-kapal di kawasan itu bahawa mereka akan “dimusnahkan” jika mereka cuba melaluinya tanpa kebenaran.
Bagaimanapun, Leavitt berkata, apa yang dikatakan oleh Iran secara terbuka adalah “berbeza secara peribadi”.
Semasa taklimat yang agak singkat di Rumah Putih pada Rabu, Leavitt mengisytiharkan “kemenangan” Amerika. Leavitt berkata matlamat ketenteraan utama Operasi Epic Fury – termasuk pemusnahan program tentera laut, dron dan peluru berpandu balistik Iran – sudah dicapai.
Dengan gencatan senjata berkuat kuasa, Vance, bersama utusan khas Steve Witkoff dan Jared Kushner, akan menuju ke Pakistan untuk rundingan secara bersemuka dengan rakan sejawat mereka dari Iran.
Butiran rundingan itu dan cadangan sebenar yang dibincangkan masih tidak jelas.
Dalam pada itu, Bernama memetik Anadolu Ajansi melaporkan Timbalan Menteri Luar Iran Saeed Khatibzadeh, mengesahkan pada Khamis bahawa satu delegasi dari Tehran akan berangkat ke Pakistan untuk mengadakan rundingan damai dengan AS.
Bercakap dalam program Today di BBC Radio 4, Khatibzadeh berkata, Iran masih “memberi tumpuan untuk menjayakan perkara ini” kerana rundingan dengan AS adalah “dalam kepentingan nasional kami”.
Khatibzadeh juga dilaporkan berkata, beliau difahamkan yang JD Vance, dijangka mengetuai delegasi AS, manakala Yang Dipertua Parlimen Iran Mohammad Bagher Qalibaf, berkemungkinan mengetuai pasukan Iran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




