
Kesebelasan JDT. Foto Facebook Johor Southern Tigers
SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT), meraih tiga mata berharga apabila menewaskan Kuching City FC, 2-0, pada aksi terakhir Liga Super 2004/25 di Stadium Negeri, Kuching, sebentar tadi.
Beraksi dalam hujan lebat nyata tidak memberikan masalah buat skuad Harimau Selatan itu untuk mempamerkan aksi bertenaga sejak wisel permulaan.
Buktinya, pelawat tidak perlu menunggu lama untuk merobek gawang tuan rumah apabila Bergson Da Silva menyempurnakan sepakan penalti seawal minit ke-5.
Tersentak dengan jaringan tersebut, kesebelasan The Cats, dilihat cuba bangkit dengan mengasak ke kubu pelawat.
Bagaimanapun, asakan-asakan berkenaan gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang pertahanan pelawat.
Malah, hasil satu satu serangan balas skuad Harimau Selatan itu berjaya menambah satu lagi gol menerusi Romel Morales pada minit ke-26.
Selesa mendahului dua gol kesebelasan JDT dilihat masih terus mengasak ke gawang Kuching City FC dalam usaha menambah jaringan.
Namun, tiada tambahan jaringan berjaya dilakukan bagi menyaksikan kedudukan kekal menuju bilik persalinan.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan dilihat semakin menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan.
Bagaimanapun, tiada sebarang jaringan tambahan berjaya dijaringkan kedua-dua pasukan dan menyaksikan keputusan 2-0, memihak JDT kekal hingga ke wisel penamat.
Untuk rekod, JDT menamatkan saingan Liga Super dengan 70 mata hasil 23 kemenangan dan seri sekali daripada 24 perlawanan.