sukan@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah melepasi `sekatan’ PDRM FC apabila membelasah lawan 10-1 dalam aksi pertama pusingan 16 saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.
Walaupun pengendali JDT, Xisco Munoz melakukan rombakan dalam kesebelasan utama namun ia tidak menjejaskan penguasaan pasukan bergelar Harimau Selatan apabila tidak menunggu lama untuk merungkai jaringan seawal minit kedua perlawanan.
Gol terhasil menerusi bola lambungan pemain import baharu JDT, Rui Felipe yang melakukan penampilan pertama tepat kepada Jonathan Silva yang melintangkan tepat kepada Teto Martin untuk merembat melepas jangkauan penjaga gol, Muhd Asri Muhamad.
Selang lima minit kemudian, JDT terus menemui sentuhan penyudah apabila Nazmi Faiz Mansor yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti sempat melintangkan bola untuk Martin mencetak gol kedua peribadi.
Tuan rumah hampir menambah jaringan pada minit ke-11 selepas hantaran Silva tepat kepada Bergson da Silva namun Muhd Asri berada di posisi terbaik bagi menafikan percubaaan pemain import dari Brazil itu disusuli pada minit ke-42 gol yang dijaringkannya dibatalkan selepas berada dalam keadaan ofsaid.
Bersambung babak kedua, JDT menambah derita skuad kendalian Eddy Gapil apabila berjaya mencipta gol ketiga perlawanan pada minit ke-47 berpunca daripada gerakan Corbin Ong yang disudahkan Nazmi menerusi rembatan kencang menewaskan Muhd Asri.
Ketika aksi memasuki minit ke-49, Martin melakar hatrik pada perlawanan itu apabila menyudahkan bola hantaran lintang pemain gantian Yago Cesar untuk JDT mendahului 4-0.
Walaupun JDT sering menguasai perlawanan namun PDRM selaku tuan rumah menyentap barisan pertahanan Harimau Selatan pada minit ke-60 selepas bola sepakan Fakhrul Azim Zulphatah pantas disambar Imran Samso yang tidak dikawal mudah menewaskan penjaga go, Christian Abad.
Gol PDRM tidak meluntur semangat JDT untuk menambah jaringan seminit kemudian apabila Martin yang menerima bola lorongan kapten Afiq Fazail mudah menewaskan Muhd Asri.
Harimau Selatan terus `mencakar’ skuad lawan pada minit ke-65 selepas hantaran lintang Nazmi membolehkan pemain gantian, Marcos Guilherme yang berada di posisi terbaik dan tidak dikawal menampan bola ke gawang untuk kedudukan 6-1.
Martin mencetak gol kelima peribadi selepas menyelinap di celah pertahanan lawan untuk menyudahkan hantaran lintang Silva bagi memastikan JDT mendahului 7-1.
Ketika aksi berbaki empat minit untuk ditamatkan, pemain gantian Manuel Hidalgo menambah derita PDRM FC apabila menjaringkan gol dengan merembat bola dari jarak 25 meter.
Seminit sebelum perlawanan berakhir, giliran Guilherme mencetak gol kedua peribadi selepas menyudahkan hantaran lintang Cesar dan pada masa tambahan, Martin melengkapkan `double hatrik’ selepas menjaringkan gol untuk menamatkan dengan keputusan 10-1 menewaskan PDRM FC.
© New Straits Times Press (M) Bhd




