rizar@mediaprima.com.my
Iskandar Puteri: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuh cengkaman selaku pendahulu liga namun terpaksa bergelut untuk menewaskan Kuching City FC (KCFC) 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.
Selepas mengharungi 11 perlawanan skuad kendalian Hector Bidoglio kini melakar 10 kemenangan dan mengumpul 31 mata bagi menjarakkan kedudukan mata dengan pencabar terdekat, Selangor FC yang mengumpul 22 mata.
Kemenangan itu juga meningkatkan lagi motivasi pemain skuad Harimau Selatan apabila akan berdepan kelab dari China, Shanghai Shenhua pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACL) di stadium sama, Selasa ini.
JDT yang menguasai perlawanan terlepas peluang membuka tirai jaringan pada minit ke-10 selepas bola lorongan Juan Muniz menyaksikan Nazmi Faiz Mansor bertindak pantas merembat bola dari luar kotak penalt tapi hanya sipi gawang gol.
Nasib tidak menyebelahi JDT apabila gol yang dijaringkan Jorge Obregon pada minit ke-40 dibatalkan selepas pemain itu berada di posisi ofsaid berpunca daripada susulan bola rembatan Arif Aiman Hanapi di luar kotak penalti gagal ditangkap kemas penjaga gol, Shahril Sa’ari
Bersambung babak kedua tatkala kedua-dua pasukan buntu mencipta gol pada babak pertama, JDT hanya memerlukan tiga minit permainan untuk meleraikan jaringan selepas pemain gantian, Bergson da Silva menanduk bola sepakan lintang Arif Aiman untuk meletak tuan rumah mendahului 1-0.
Obregon terus malang selepas gol kedua yang dijaringkan sekali lagi dibatalkan pada minit ke-52 selepas berada dikedudukan ofsaid tatkala menyudahkan bola hantaran Bergson.
Perjuangan skuad The Cats tersentap selepas skuad Harimau Selatan menambah jaringan pada minit ke-82 apabila bola lorongan Bergson menyaksikan Muniz yang tidak di kawal mudah melencongkan bola tepat ke penjuru kanan gawang menewaskan Shahril.
Ketika aksi berbaki tujuh untuk ditamatkan pemain gantian, Fernando Welter merapatkan jurang gol selepas berjaya menewaskan Ahmad Syihan Hazmi namun gol itu belum cukup buat KCFC sekurang-kurang melakar keputusan seri sebaliknya JDT tampak lega dengan kemenangan tipis 2-1.
© New Straits Times Press (M) Bhd




