JDT bertemu Kuching City FC di separuh akhir

JDT bertemu Kuching City FC di separuh akhir

rizar@mediaprima.com.my

Johor Bahru: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke separuh akhir Piala FA dengan agregat 5-1 selepas menewaskan Penang FC 3-0 dalam aksi timbal balik suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, skuad kendalian Xisco Munoz akan berdepan Kuching City FC selepas menyingkirkan Terengganu FC dengan agregat 5-3 biarpun tumpas 1-2 dalam aksi timbal balik.

JDT membuka jaringan pada minit ke-38 selepas rembatan deras Mendez dari luar kotak penalti ditepis Mohamad Ramdhan, namun bola muntah pantas disambar Bergson da Silva untuk gol pembukaan.

Selang dua minit kemudian, Jonathan Silva menambah jaringan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan jaringannya sekali gus meletakkan JDT selesa mendahului 2-0 dengan agregat 4-1.

Skuad Harimau Selatan terus menambah derita Penang FC di penghujung babak pertama apabila sepakan sudut Arif Aiman disempurnakan Eddy Israfilov yang menanduk kemas menewaskan Mohamad Ramdhan untuk kedudukan 3-0.

Kedudukan 3-0 kekal hingga tamat perlawanan, sekali gus mengesahkan kemaraan JDT ke separuh akhir dengan penuh bergaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top