rizar@mediaprima.com.my
Iskandar Puteri: Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut meneruskan rentak kemenangan apabila menjadikan PDRM FC mangsa ke-20 selepas menang dengan jaringan 7-0 dalam aksi liga di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.
Yang pasti skuad kendalian Xisco Munoz berada di landasan terbaik bagi memburu rekod tanpa kalah bagi musim 2025 dan 2026 tatkala hanya empat perlawanan liga yang perlu diharungi selain perlu membuat persiapan menghadapi pentas separuh akhir Piala Malaysia musim ini.
Rentak kemenangan bermula pada minit ke-15 selepas umpanan Manuel Hidalgo menyaksikan Yago Cesar bijak menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum melencongkan bola tepat ke penjuru kanan gawang menewaskan penjaga gol skuad The Cops, Muhd Asri Muhamad.
Selang lima minit kemudian, JDT memastikan anak buah Eddy Gapil terus kekal di perosok liga selepas gerakan Corbin Ong yang mengumpan tepat kepada Nacho Mendez di luar kotak penalti bertindak melakukan rembatan lencong menyebabkan Asri terpaku melihat bola menerjah jaring di penjuru gol.
Skuad Harimau Selatan terus mengganas tatkala beraksi di laman sendiri apabila menambah derita pasukan pelawat pada minit ke-24 selepas Stuart Wilkin yang menerima bola umpanan Mendez tidak menunggu lama apabila merembat bola kencang dari luar kotak penalti tepat ke penjuru kanan gol dan sekali lagi Asri terpaku di gawang sendiri.
Bersambung babak kedua, Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk menambah jaringan pada minit ke-50 apabila gerakan menarik Hidalgo yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti mengumpan kepada Wilkin mencipta gol kedua peribadi selepas merembat leret untuk meletak tuan rumah selesa dengan kedudukan 4-0.
Walaupun JDT menambah jaringan pada minit ke-72 namun semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesan penyerang JDT, Jairo da Silva berada di kedudukan ofsaid dan pengadil perlawanan Muhammad Usaid Jamil membatalkan jaringan itu.
Jairo yang terlepas gol yang dibatalkan akhirnya menemui sentuhan penyudah pada minit ke-80 apabila menewaskan penjaga gol gantian, Nor Hakeem Hamidun selepas menyudahkan bola umpanan pemain gantian, Nazmi Faiz Mansor untuk meletak JDT selesa dengan kedudukan 5-0.
Sentuhan penyudah Jairo kembali berbisa selepas mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-82 dan sekali lagi Nazmi Faiz menjadi pencetus jaringan memudahkan pemain import dari Brazil merembat bola menewaskan Nor Hakeem.
Selepas menunggu lama untuk meleraikan jaringan, akhirnya Bergson mencipta gol ke-20 dalam saingan liga selepas menyudahkan bola umpanan Jairo dan kedudukan 7-0 yang memihak JDT kekal sehingga tamat perlawanan
© New Straits Times Press (M) Bhd




