
Pemain JDT, Bergson Gustavo Silveira Da Silva (dua, kiri), mengasak penjaga gawang Terengganu FC, Muhammad Rahadiazli Rahalim (kiri) pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. – Foto: Bernama
KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menyifatkan keputusan seri 1-1 menentang Terengganu FC (TFC) dalam aksi Liga Super 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini, sebagai amaran atau ‘wake-up call’ buat pasukannya.
Munoz berkata, JDT sepatutnya mampu menamatkan perlawanan dengan lebih selesa selepas mencipta beberapa peluang terbaik, namun kegagalan menyempurnakan peluang menyebabkan pelawat terus kekal dalam saingan hingga wisel penamat.
“Apabila anda gagal menamatkan permainan lebih awal, anda sebenarnya memberi ruang kepada lawan. Kadangkala kami kurang matang dalam detik penting,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Beliau menegaskan pasukan perlu lebih tenang dan membuat keputusan tepat, terutama pada fasa kritikal perlawanan.
Katanya, keputusan itu perlu dijadikan pengajaran dengan meningkatkan fokus serta intensiti bagi baki perlawanan musim ini.
Munoz berkata, JDT akan bangkit dengan mengekalkan standard prestasi serta mentaliti tinggi ketika saingan memasuki fasa akhir musim, di samping terus memburu keputusan maksimum dalam baki aksi.
Walaupun tercicir mata, beliau menegaskan pendekatan pasukan kekal berteraskan disiplin, mentaliti dan konsistensi bagi memastikan penamat musim yang cemerlang.
Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih TFC, Tengku Hazman Raja Hassan berpuas hati dengan komitmen dipamerkan anak buahnya walaupun mengakui terdapat beberapa peluang terlepas.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan komitmen pemain. Mungkin faktor rezeki memihak kepada kami petang ini. JDT memiliki banyak peluang dan kami juga ada beberapa peluang. Dengan barisan pemain yang ada, saya gembira dengan sumbangan mereka dalam perlawanan ini,” katanya.
Beliau turut memuji disiplin tinggi pemain ketika bertahan serta keupayaan menyerap tekanan JDT, selain menegaskan setiap pemain memahami peranan masing-masing dalam situasi menyerang dan bertahan sehingga membantu pasukan kekal kompetitif sepanjang perlawanan. – Bernama



