JDT hampiri gelaran kelapan

JDT hampiri gelaran kelapan

syafiq.aznan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pendahulu Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) kian menghampiri kejuaraan liga buat kali kelapan berturut turut selepas menumbangkan PJ City 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Benjamin Mora meraih kemenangan berganda selepas mereka menang 3-0 ke atas pasukan sama pada aksi pertama di Stadium Sultan Ibrahim, April lalu.

Namun, nasib berbeza dialami skuad ‘Phoenix’ yang diperkuat sepenuhnya anak tempatan apabila tewas dalam empat perlawanan berturut turut.

Pada aksi terbabit, JDT jelas menguasai permainan dan beberapa kali mengancam kubu pertahanan tuan rumah menerusi percubaan Bergson da Silva yang tersasar (m-12) dan rembatan Leandro Velazquez yang dihalang Raffi Nagoorgani (m-17).

Namun pertahanan kental PJ City FC akhirnya bocor pada minit ke-26 apabila gerakan lincah Arif Aiman Hanapi berjaya melepasi kawalan beberapa pemain PJ City FC dan hantarannya disudahkan Bergson.

Bersambung babak kedua, gerakan pantas di bahagian sayap oleh PJ City FC beberapa kali mengancam kubu pertahanan JDT namun tidak mencukupi untuk mendapatkan gol penyamaan buat mereka.

Berbaki lapan minit, JDT ‘membunuh’ permainan selepas Mohamadou Sumareh menyudahkan hantaran Akhyar Rashid untuk gol kedua pelawat sekali gus membawa pulang mata penuh.

Selepas ini, PJ City FC akan melayan kunjungan Kedah Darul Aman (KDA) pada Rabu dan kemudiannya bertemu Penang FC pada Ahad manakala JDT pula akan menentang Sri Pahang FC di laman sendiri, Jumaat ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top